MALAYSIA

Kursus pengajian universiti di Malaysia masih relevan selaras keperluan - Zambry

Bernama 25/09/2025 | 07:45 MYT
Zambry berkata dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan program pengajian yang ditawarkan di universiti kini tidak relevan kerana tidak selaras dengan keperluan industri, adalah tidak benar. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Kursus pengajian di universiti di negara ini masih relevan selaras dengan keperluan pasaran serta perancangan kerajaan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.


Ringkasan AI
  • Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa kursus pengajian di universiti masih relevan dan selaras dengan keperluan pasaran serta perancangan kerajaan, dengan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian.
  • Penilaian terhadap keperluan pasaran dilakukan secara berterusan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan melalui proses Penambahbaikan Kualiti Berterusan (CQI), bagi memastikan program pengajian kekal relevan dalam pelbagai sektor.
  • Kementerian dan universiti melakukan semakan setiap tiga hingga lima tahun terhadap kursus yang ditawarkan, sambil mengekalkan asas pendidikan sebagai teras penting dalam pembentukan insan.


Beliau berkata dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan program pengajian yang ditawarkan di universiti kini tidak relevan kerana tidak selaras dengan keperluan industri, adalah tidak benar.

"Kita sentiasa ingin tekankan di sini bahawa universiti, khususnya di peringkat kementerian mengambil pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole of government.

"Maknanya, bagi perancangan masa depan keperluan pasaran negara dalam industri tertentu, pihak kementerian yang ada sentiasa bekerjasama kerana kita mahu pastikan universiti awam atau universiti swasta memberikan khusus yang ada nilainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program "Persidangan Memperkasa Kepimpinan 2.0: Kecerdasan Buatan: Era Baharu Kepimpinan" anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata proses untuk membuat penilaian terhadap keperluan pasaran akan sentiasa dilakukan, khususnya oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan di peringkat Penambahbaikan Kualiti Berterusan (CQI).

"Program yang diatur itu sentiasa berada dalam perancangan bersama di peringkat pelbagai kementerian bagi memenuhi keperluan negara. Mungkin ada satu pihak yang melihat dari segi keperluan industri tertentu tetapi dalam konteks perancangan kita melihat secara keseluruhan dalam pelbagai sektor.

"Ada bidang yang mempunyai keperluan di pasaran tetapi asas kepada teras pendidikan kita tidak boleh korbankan kerana ia menjadi asas untuk membentuk manusia. Itu jangan kita lupa," tambahnya.

Zambry berkata pihak kementerian, MQA dan universiti sentiasa membuat penilaian dalam tempoh tiga ke lima tahun bagi satu-satu kursus untuk memastikan sama ada kursus itu masih relevan atau tidak dengan kehendak pasaran.

-- BERNAMA

#Zambry Abdul Kadir #kursus pengajian di universiti #pasaran pekerjaan #MQA