JOHOR BAHRU: Polis menahan dua individu kerana disyaki mengurung seorang perempuan warganegara asing selama tiga hari di sebuah kediaman sekitar Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang berusia 37 tahun itu berjaya diselamatkan setelah pihak polis melaksanakan pemeriksaan ke atas rumah terbabit pada jam 1.30 tengah hari, pada Isnin.

Katanya, susulan penemuan mangsa, pihaknya telah melancarkan dua serbuan berasingan di sekitar Pasir Gudang, di sini, bagi menahan dua individu yang dipercayai majikan kepada mangsa, di antara jam 3.30 petang hingga 9.45 malam, hari sama.

Menurut beliau, individu yang ditahan, seorang perempuan dan seorang lelaki warga tempatan, berumur 36 dan 38 tahun.

"Pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati mangsa telah dikurung di dalam rumah dengan keadaan pintu rumah berkunci mangga dari luar.

"Berdasarkan siasatan awal, mangsa telah dijanjikan bekerja sebagai pembantu rumah, namun telah dikurung sementara mendapatkan pekerjaan tersebut.

"Mangsa yang dikurung telah memohon bantuan daripada jiran sebelum laporan polis dibuat oleh jiran tersebut pada jam 11.45 pagi.

"Hasil penemuan itu turut membawa kepada penahanan dua individu warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Selasa.

Menurut Mohd Sohaimi, hubungan di antara kedua-dua suspek masih dalam siasatan pihak polis. Bagaimanapun mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

Manakala suspek turut ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, sehingga 3 September depan bagi siasatan lanjut.