[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

KUSKOP harap program khas untuk Sabah, Sarawak diteruskan dalam RMK13

Bernama 30/09/2025 | 15:15 MYT
Ewon pada Hari Terbuka Hab PMKS serta sesi ramah mesra bersama usahawan PMKS peringkat negeri Sabah hari ini. - Gambar Bernama
PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meletakkan harapan tinggi agar program khas kementerian itu untuk Sabah dan Sarawak diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata antara program yang diperkenalkan dalam tempoh dua tahun ini termasuk Geran Usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BEEP PLUS) dan inisiatif lain seperti Program Pembangunan Premis (Tamu Desa).

Beliau berkata walaupun tumpuan tambahan diberikan kepada Sabah dan Sarawak, kepimpinan KUSKOP serta agensi di bawah kementerian itu sentiasa memberikan fokus kepada usahawan di seluruh negara.

"Cuma kerana situasi dan cabaran yang begitu besar dihadapi (usahawan) di Sabah dan Sarawak, kementerian tampil dengan inisiatif-inisiatif khas ini untuk menjadikan usahawan ini dapat bersaing dengan usahawan-usahawan yang lain dalam dan juga luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Hari Terbuka Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta sesi ramah mesra bersama usahawan PMKS peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Ahli Parlimen Penampang itu berkata program tambahan seperti BEEP Plus mendapat sambutan yang begitu menggalakkan justeru KUSKOP telah mengemukakan permohonan peruntukan lebih besar dalam RMK13 bagi membiayai program berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ewon berkata data terkini menunjukkan lebih 1 juta syarikat PMKS di seluruh negara telah menyumbang kira-kira RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan daripada jumlah itu, RM196.8 bilion daripada hasil eksport.

Beliau berkata Program BEEP Plus yang diperkenalkan sejak 2023 untuk Sabah dan Sarawak telah memberikan manfaat kepada 197 syarikat mikro milikan bumiputera di kedua-dua negeri itu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 138 syarikat adalah dari Sabah dengan jumlah kelulusan geran BEEP Plus sebanyak RM11.48 juta," katanya sambil menambah PMKS telah menyediakan hampir 8.1 juta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ewon berkata KUSKOP menerusi SME Corp. Malaysia akan menganjurkan SME Venture@ASEAN pada pada 16 hingga 18 Okt ini di MITEC, Kuala Lumpur iaitu pameran perdagangandan platform serantau bagi membantu PMKS Malaysia menembusi pasaran ASEAN.

Beliau berkata acara itu akan turut menumpukan pada sektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, aeroangkasa, minyak dan gas, bioteknologi, peranti perubatan, teknologi halal, pertanian pintar, ekonomi hijau dan mobiliti.

"Saya menjemput semua pihak untuk hadir memberikan sokongan, membeli produk tempatan dan bersama-sama menjayakan agenda pengantarabangsaan PMKS Malaysia," katanya.

-- BERNAMA



#KDNK #ASEAN #produk tempatan #peranti perubatan