PASIR GUDANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi amaran keras tidak akan berkompromi dengan sebarang amalan "kabel" atau orang dalam, bagi permohonan dana usahawan di bawah kementerian itu.
Menteri berkenaan Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa semua dana dan bantuan pinjaman perniagaan yang disediakan oleh kerajaan, adalah hak mutlak rakyat Malaysia yang layak, tanpa memerlukan sebarang talian hayat politik.
Beliau berkata kementerian kini komited sepenuhnya untuk menghapuskan sebarang keperluan surat sokongan politik, mahupun penglibatan pihak ketiga bagi meluluskan sebarang pembiayaan.
“Sekarang ini kalau mahu pinjam duit atau dana (perniagaan) dan sebagainya, tidak perlu lagi ada tanda tangan ‘ketua bahagian’, tanda tangan orang politik atau guna ‘kabel’. Kita buka secara terus kepada semua rakyat Malaysia.
“Selagi usahawan itu layak dan cukup syarat, kita akan bagi tanpa mengira kaum, agama, malah warna baju (ideologi politik) mereka,” katanya kepada Bernama, selepas program Borak-Borak bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di sini hari ini.
Sim berkata KUSKOP kini sedang giat menggerakkan reformasi serta pembaharuan pentadbiran, menerusi kerangka tertentu bagi memastikan ekosistem keusahawanan negara lebih efektif.
”Antara fokus utama reformasi tersebut termasuklah mempermudah proses permohonan, memendekkan tempoh pemprosesan kelulusan modal serta mengurangkan kerenah birokrasi di semua peringkat agensi kementerian,” katanya.
Mengulas mengenai aduan kelewatan atau dakwaan salah guna kuasa melibatkan kakitangan agensi di bawah kementeriannya, Sim menzahirkan keyakinan bahawa majoriti petugas di bawah KUSKOP sentiasa melaksanakan tugas dengan profesional.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan siasatan telus dan tindakan tegas akan diambil serta-merta, sekiranya terdapat bukti kukuh berhubung salah guna kuasa oleh mana-mana pegawai.
”Bagi saya, untuk memastikan reformasi ini berjaya, kepimpinan politik itu sendiri perlu betul dan berintegriti serta mempunyai nilai prinsip urus tadbir yang baik,” katanya.
-- BERNAMA