MALAYSIA
Kutipan bayaran parkir di empat PBT Selangor dikendali konsesi baharu bermula Ogos

Ng Suee Lim berkata empat PBT yang terlibat adalah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS). -Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Kutipan bayaran parkir kenderaan fasa pertama di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan dikendalikan oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd, sebuah syarikat konsesi baharu yang dilantik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor berkuat kuasa 1 Ogos ini.
Ringkasan AI
- Kutipan bayaran parkir fasa pertama di empat PBT Selangor akan dikendalikan oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd bermula 1 Ogos 2025, dengan sasaran meningkatkan hasil kutipan melebihi 60 peratus.
- Syarikat konsesi akan menerima 50% hasil kutipan, manakala baki diagihkan kepada kerajaan negeri (PBT 40%, MBI Selangor 10%), dan pelantikan dibuat melalui proses RFP melibatkan 26 syarikat.
- Kontrak 10 tahun boleh dibatalkan jika syarat tidak dipenuhi, dan kadar caj parkir kekal berpatutan antara 40 hingga 60 sen sejam.
"Syarikat konsesi ini akan mengambil alih tugas mengutip serta penguatkuasaan bayaran parkir yang mana mereka akan dipantau ketat oleh PBT dan kerajaan negeri.
"Kita menyasarkan hasil kutipan parkir akan meningkat lebih 60 peratus dan dalam masa yang sama dapat menangani masalah parkir berlapis terutamanya di kawasan yang sibuk," katanya pada sidang media di Lobi Wisma Dewan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Ng berkata syarikat berkenaan akan memperoleh 50 peratus hasil kutipan manakala 50 peratus lagi dikembalikan kepada kerajaan negeri dengan PBT menerima 40 peratus dan MBI Selangor 10 peratus.
Dalam pada itu, Ng berkata dakwaan pelantikan syarikat konsesi berkenaan dibuat secara tender tertutup dan kewujudan elemen pemberian kontrak secara terus adalah tuduhan tidak berasas.
"Ini kerana kerajaan Selangor menerusi MBI Selangor mengeluarkan Permintaan Untuk Cadangan (RFP) dan terdapat 26 syarikat yang berminat dalam sektor industri parkir ini sebelum tiga syarikat terpilih (untuk disenarai pendek)," katanya.
Ng berkata konsesi yang terpilih itu turut dikenakan syarat ketat dan mereka perlu meningkatkan hasil kutipan dalam tempoh tertentu.
Beliau berkata tindakan pembatalan kontrak boleh dilakukan pada bila-bila masa sekiranya pihak konsesi gagal memenuhi syarat yang ditetapkan walaupun kontrak 10 tahun diberikan kepada syarikat berkenaan.
"Kita percaya pembaharuan yang dilakukan ini tidak akan meningkatkan kadar bayaran parkir, malah CAJ parkir di Selangor masih berpatutan iaitu antara 40 sen hingga 60 sen sejam," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami