MALAYSIA
Kutipan zakat menerusi ejen PPZ-MAIWP meningkat - Mohd Na'im
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata pencapaian itu membuktikan tahap kepercayaan tinggi masyarakat terhadap ejen-ejen sah yang dilantik oleh PPZ-MAIWP. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jumlah kutipan zakat menerusi saluran ejen Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi 2024 ialah RM74.34 juta, meningkat 17.4 peratus berbanding RM63.28 juta pada tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata pencapaian itu membuktikan tahap kepercayaan tinggi masyarakat terhadap ejen-ejen sah yang dilantik oleh PPZ-MAIWP.
"Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua ejen atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Ini menunjukkan bahawa kehadiran PPZ-MAIWP melalui saluran ejen semakin diyakini oleh para pembayar zakat.
"Saya yakin angka ini akan terus meningkat, seiring dengan penambahbaikan sistem dan kemudahan yang ditawarkan melalui platform masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2024 di sini hari ini bagi menghargai peranan penting ejen dalam membantu memperkukuh prestasi kutipan zakat.
NA'IM-ZAKAT 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Sebanyak 16 syarikat ejen yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2024 turut menerima anugerah khas pada majlis itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memperluas akses perkhidmatan zakat kepada masyarakat.
Majlis turut menghargai usaha para ejen yang aktif menyebarkan kesedaran dan kefahaman mengenai kewajipan menunaikan zakat sekali gus menyokong misi sosial dan kebajikan PPZ-MAIWP.
Turut hadir Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Datuk Abdul Hakim Amir Osman.
Sementara itu, PPZ-MAIWP dalam kenyataan menyeru orang ramai agar menunaikan zakat menerusi ejen sah yang dilantik institusi itu bagi mengelakkan sebarang penipuan atau maklumat palsu berkaitan kutipan zakat.
Maklumat lanjut mengenai ejen sah zakat PPZ-MAIWP boleh disemak menerusi portal rasmi www.zakat.com.my atau melalui talian Zakat Careline di 1-300-88-5757.
-- BERNAMA
#kutipan zakat
#ejen PPZ-MAIWP
#Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
#Mohd Na'im Mokhtar