KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang diluluskan di Parlimen hari ini, menekankan komitmen Malaysia untuk mempelbagaikan ekonomi negara.
RUU itu mengiktiraf bahawa kekayaan sumber asli negara bukan sekadar minyak dan gas, justeru pembentukan dana antara generasi tidak sewajarnya bergantung kepada satu institusi sahaja.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah memikul tanggungjawab itu hampir sepenuhnya sejak 1988 dan sumbangannya kepada KWAN sepanjang beberapa dekad lepas, lahir daripada komitmen yang melangkaui tanggungjawab korporat.
"KWAN ditubuhkan pada 1988 dengan tujuan yang jelas tetapi mendalam, iaitu bagi mengasingkan sebahagian kekayaan dijana daripada sumber asli Malaysia yang boleh habis, untuk manfaat generasi akan datang.
"Kalangan pemimpin awal Petronas benar-benar memahami bahawa kekayaan sumber negara merupakan amanah untuk generasi yang belum dilahirkan. Sikap bertanggungjawab itu patut dihargai dan diiktiraf," katanya dalam catatan di laman LinkedIn hari ini.
Sehubungan itu beliau berkata rasional di sebalik penubuhan KWAN perlu diperluaskan berikutan perubahan landskap ekonomi negara serta sumber asli lain yang terhad turut diteroka dan dieksport.
"Saya optimis kedua-dua pihak di Dewan ini akan membincangkan perkara itu berpandukan satu prinsip yang seharusnya menyatukan semua pihak, iaitu kita bertanggungjawab mewariskan kepada anak-anak sebuah negara yang masih mempunyai pelbagai pilihan, bukannya hanya sisa sumber," katanya.
Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU KWAN 2026 yang akan memperkukuh asas perundangan dana itu dengan memastikan aliran masuk lebih konsisten, pengeluaran lebih berdisiplin serta tadbir urus dan akauntabiliti yang lebih jelas.
RUU itu dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong dan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen.
Liew ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata aset kumpulan KWAN berjumlah RM22.43 bilion pada akhir 2024, dengan Petronas kekal sebagai satu-satunya penyumbang secara sukarela berjumlah RM13.5 bilion selepas hampir empat dekad penubuhan KWAN pada 1988.
-- BERNAMA