Kementerian Wilayah Persekutuan akan membentangkan perincian konsep baharu bazar Ramadan kepada Jawatankuasa Khas Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Khamis ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau akan disertai pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Perbadanan Putrajaya, dan perincian akan diberikan mengenai garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) mengenai pelaksanaannya.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, pembentangan sudah pun dilakukan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet sebelum ini, namun ia tidak begitu terperinci.

“Perinciannya, pandu lalu macam mana tempat dia, macam mana susun atur gerainya, dan berapa orang yang boleh berniaga secara pandu lalu, adakah ia menepati kriteria penjarakan sosial dan sebagainya.

“Pack and pick, iaitu tempahan lebih awal dan datang ambil sahaja tempahan di tempat yang ditentukan dan satu lagi juga pack and pick, tapi dalam bentuk yang datang ambil itu adalah e-hailing dan mereka hantar kepada pembeli,” katanya dalam siaran secara langsung di Facebook rasmi beliau, hari ini.

BACA: Peniaga, penjaja di ibu kota sedia untuk 'E-Bazar Ramadan' sepanjang PKP

Terdahulu, kerajaan telah memutuskan tiada bazar Ramadan dibenar beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian PKP di Putrajaya, hari ini berkata, keputusan itu bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu Annuar, yang juga berkata Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Peringkat Wilayah Persekutuan berkata, pertemuan beliau dengan 100 wakil persatuan penjaja semalam telah mencapai beberapa persetujuan.

Antaranya, jelas beliau lagi, segala deposit yang telah dibayar mereka berkenaan perniagaan di bazar Ramadan, akan dibawa ke tahun depan.

“Jadi, tahun hadapan, mudah-mudahan tiada masalah, mereka boleh terus berniaga tanpa mengeluarkan apa-apa bayaran tambahan lagi,” katanya.