BAGI membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID19, Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Yayasan Wilayah Persekutuan menubuhkan RumahPrihatin@GrandSeasons yang beroperasi secara berperingkat bermula 15 Julai 2021.

Kerjasama dengan pihak Yayasan Wilayah Persekutuan, Grand Seasons Hotel, badan-badan organisasi korporat, NGO dan individu tertentu itu menawarkan lima komponen utama yang selari dengan konsep Wilayah Cakna dan Wilayah Prihatin bagi membantu rakyat secara lebih proaktif.

Komponen tersebut ialah Dapur Prihatin, Bilik Penginapan Prihatin, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Khidmat Vaksinasi Prihatin, Food Bank Prihatin dan Pusat Gerakan Jejak Prihatin.

Antara Bilik Penginapan Prihatin (BPP) yang disediakan di RumahPrihatin@GrandSeasons.

Menurut Eksekutif Sous Chef Dapur Prihatin, Hairy Ismail A. Rahman, pihaknya sentiasa komited untuk menyediakan makanan kepada yang memerlukan melibatkan gelandangan, fakir miskin, petugas barisan hadapan, musafir dan golongan tidak berkemampuan.

“Perkara ini sangat bagus, keadaan sekarang ini ramai yang tengah susah, jadi saya sangat teruja kerana terpilih untuk menyediakan makanan percuma, 1,000 pek sehari kepada mereka yang memerlukan.

“Saya merasakan usaha sebegini perlu diteruskan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik dan perlu diluaskan ke seluruh cawangan di Malaysia,” katanya kepada Astro AWANI.

Eksekutif Sous Chef Dapur Prihatin, Hairy Ismail A. Rahman.

Pek makanan disediakan menerusi Dapur Prihatin.

Dalam pada itu, Ketua Koordinator Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Dr Norhayati Mohd Noor berkata, sesi kaunseling yang disediakan adalah bagi membantu mereka yang mengalami tekanan hidup akibat COVID-19.

“Kami (kaunselor) menawarkan empat jenis kaunseling, iaitu kaunseling individu; kaunseling kelompok; kaunseling pasangan dan kaunseling keluarga, saya galakkan orang ramai datang kerana ia percuma untuk setiap sesi dan kami ada 32 kaunselor setakat ini.

“Kita mempunyai tiga bilik dan paling maksimum satu hingga satu jam setengah bagi keluarga untuk satu sesi, kita juga ada dua syif melibatkan 10 kaunselor dan jika ada keperluan, bilik ekstra akan ditambah kerana kita ingin memastikan tiada seorang pun individu yang perlu menunggu bagi mendapatkan perkhidmatan kami,” katanya.

Khidmat Kesihatan Mental Prihatin diberikan oleh Pensyarah Kanan Kaunseling Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM, Dr Norhayati Mohd Noor.

Sementara itu, penerima vaksin melalui Khidmat Vaksinasi Prihatin, Muniandy a/l Munusamy berkata, semua urusan vaksinasi berjalan lancar dan berpuas hati dengan layanan diberikan oleh petugas.

“Saya warga orang kurang upaya (OKU) sangat berpuas hati dengan program ini, sangat cepat dan memudahkan urusan golongan seperti kami.”

“Warga emas dan OKU sangat diutamakan, semua petugas memberikan bantuan kepada saya dari mula sehingga selesai suntikan dan tempat sangat selesa,” katanya.

Warga emas, Siti Sarah Rashidi, pula menzahirkan rasa terima kasih dan berasa sungguh teruja untuk menerima vaksinasi, di samping mengakui tempat yang disediakan amat selesa untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Penerima vaksin OKU (Penglihatan), Muniandy a/l Munusamy.

Antara sumbangan yang akan diberikan kepada mereka yang memerlukan oleh Pasukan Jejak Prihatin.
 
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang perkhidmatan ditawarkan, boleh melayari www.yayasanwp.org/rumahprihatin atau emel [email protected] atau menghubungi talian 011-7110 7898.

Foto KWP

*Kandungan dalam artikel ini adalah hasil kerjasama bersama Kementerian Wilayah Persekutuan.