[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

KWSP gesa reformasi sistem persaraan, kesihatan hadapi penuaan negara

Nabilah Khaleeda 18/06/2025 | 13:53 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menegaskan perlunya satu reformasi menyeluruh melibatkan sistem persaraan, perlindungan sosial dan penjagaan kesihatan negara dalam mendepani cabaran populasi yang semakin menua.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, menjelang tahun 2043, 14 peratus rakyat Malaysia dijangka berumur 65 tahun ke atas, menjadikan Malaysia sebuah negara tua dalam masa kurang dua dekad.
“Penuaan penduduk bukan isu masa depan, ia sedang berlaku.
"Persoalannya, bersediakah kita? Sama ada dari segi pendapatan, kesihatan, tempat tinggal mahupun sokongan sosial," katanya.
Antara langkah yang sedang diambil KWSP termasuk menyemak semula kerangka kecukupan persaraan berdasarkan kos sara hidup semasa serta memperluas akses kepada perlindungan seperti insurans hayat dan penyakit kritikal melalui platform i-Lindung.
“Bukan sekadar menyimpan, kita juga mahu bantu ahli merancang, melindungi diri daripada risiko dan melabur secara bijak.
"Semuanya demi satu tujuan: menua dengan bermaruah,” tambah beliau.
Ahmad Zulqarnain turut memaklumkan bahawa KWSP kini menumpukan pelaburan strategik dalam sektor kesihatan termasuk infrastruktur hospital dan perkhidmatan penjagaan sejajar dengan mandat pulangan mampan kepada pencarum dan keperluan negara.
“Kesihatan awam, akses penjagaan dan kapasiti doktor serta jururawat perlu ditambah.
"Ini bukan sahaja keperluan sosial, malah peluang pelaburan impak,” jelasnya.
Namun begitu, KWSP turut melahirkan kebimbangan terhadap golongan pekerja tidak formal yang kini mewakili kira-kira 40 peratus tenaga kerja Malaysia, dan tidak dilindungi dalam skim persaraan arus perdana.
“Reformasi perlu dilaksana segera. Ini termasuk liputan lebih meluas, kecukupan simpanan yang realistik dan kerjasama rentas kementerian serta majikan.
“Kita bukan sekadar hidup lebih lama. Kita mahu hidup lebih baik, dengan maruah," kata beliau ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di Kuala Lumpur.
ISWC 2025 anjuran KWSP menjadi platform penting mempertemukan pemegang taruh utama dalam membincangkan strategi nasional menghadapi penuaan populasi dan cabaran jangka panjang kesejahteraan sosial.
Persidangan ISWC 2025 menghimpunkan pemikir, penggubal dasar dan pertubuhan masyarakat sivil dari dalam dan luar negara dalam merangka strategi berkesan ke arah masyarakat lebih sejahtera, khususnya dalam konteks negara yang sedang menua selama dua hari, iaitu pada 17 dan 18 Jun 2025.
ISWC 2025 merupakan anjuran bersama antara KWSP, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), dan Kementerian Kewangan dengan tema 'Hidup Sehingga Seratus: Adakah Kita Bersedia?'.
ISWC 2025: Living To A Hundred: Are We Prepared?
#KWSP #MOF #ISWC 2025