KWSP: Keputusan tidak popular tetapi kebajikan rakyat terjaga - Rafizi

Astro Awani
April 3, 2023 13:14 MYT
Rafizi menjelaskan kerajaan enggan memilih jalan singkat dan meninggalkan beban masalah kepada pimpinan lain pada masa hadapan untuk menyelesaikannya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan memilih untuk tidak membenarkan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) biarpun keputusan tersebut gagal meraih populariti sementara.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli menjelaskan, kerajaan enggan memilih jalan singkat dan meninggalkan beban masalah kepada pimpinan lain pada masa hadapan untuk menyelesaikannya.
Beliau menjelaskan, kerajaan tidak membenarkan pengeluaran bersasar KWSP kerana bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.
"Walaupun tuntutan ini, jika dibenarkan, boleh dilihat sebagai satu program kerajaan, ia sebenarnya tidak melibatkan wang ataupun usaha kerajaan tetapi akan mengurangkan simpanan hari tua dari caruman rakyat sendiri," katanya menerusi satu video di Facebooknya.
Beliau menambah, ia meninggalkan kesan kepada pencarum lain walaupun mereka tidak keluarkan wang KWSP kerana pulangan secara keseluruhan akan menjadi rendah.
"Apabila dana KWSP menyusut, ini akan mengehadkan keupayaan KWSP untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan strategi pelaburan demi mendapat keuntungan yang lebih baik.
"Ini akan ada kesan kepada pencarum-pencarum lain walaupun tidak mengeluarkan caruman kerana jika pulangan KWSP secara keseluruhannya rendah maka pencarum-pencarum lain pun akan turut menanggung kesan itu," katanya lagi.
Sesi Dewan Rakyat pada Isnin pagi kecoh selepas hampir semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar dewan.
Tindakan itu dibuat selepas Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk membincangkan mengenai pengeluaran wang KWSP secara bersasar.
#Rafizi Ramli #Menteri Ekonomi #KWSP #pengeluaran #kerajaan #pencarum #dana #pelaburan