KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima sejumlah 5.3 juta permohonan bernilai RM40.1 bilion di bawah kemudahan Pengeluaran Khas setakat 8 malam, 14 April, 2022.

Permohonan itu dibuka kepada ahli pada 1 April, 2022.

KWSP berkata, pembayaran akan dibuat secara berperingkat dengan pembayaran pertama bermula pada 20 April, 2022.

"Jumlah permohonan yang diterima merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang layak untuk membuat pengeluaran di bawah kemudahan ini.

"Dipecahkan mengikut pengkelasan gaji, ia mewakili 55 peratus ahli B40 yang layak (yang berpendapatan kurang daripada RM1,700), 59 peratus ahli M40 (RM1,701 - RM4,900) dan 39 peratus ahli T20 (berpendapatan melebihi RM4,900)," katanya sambil menambah sebanyak 29 peratus ahli tidak formal dan tidak aktif juga telah memohon.

KWSP berkata, mengikut kaum, Bumiputera Melayu merangkumi jumlah pemohon tertinggi sebanyak 63 peratus, diikuti Cina pada 12 peratus dan India pada 7 peratus manakala jumlah 17 peratus selebihnya terdiri daripada kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak, dan bukan warganegara.

"Berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan ini, tiga sebab utama permohonan termasuklah mengalami pengurangan pendapatan (24 peratus), membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan (23 peratus) dan menambah sumber kewangan (14 peratus).

"Manakala tujuan pengeluaran adalah untuk menampung perbelanjaan keperluan asas harian/ bulanan (40 peratus), membayar tunggakan hutang (26 peratus), menambah simpanan/ dana kecemasan (8 peratus) dan membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan (7 peratus), dengan 19 peratus selebihnya adalah untuk tujuan lain seperti membayar pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain, dan pelaburan," katanya.

Dana pencen itu berkata ia telah mengambil setiap aspek keselamatan bagi mengelakkan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab atau scammer (penipu dalam talian) daripada membuat permohonan palsu dan menjejaskan simpanan ahli.

"KWSP ingin menasihatkan ahli untuk tidak berkongsi gambar atau dokumen berkaitan Pengeluaran Khas mereka di platform media sosial, dan berhati-hati apabila mengeluarkan wang mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan dan aktiviti scam (penipuan dalam talian).

"KWSP juga mengingatkan ahli untuk mempertimbangkan ketersediaan pendapatan jangka panjang mereka dan hanya mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu, dan membelanjakan wang mereka dengan bijak serta untuk tujuan yang sesuai," katanya.

Kemudahan Pengeluaran Khas itu akan ditutup pada 30 April, 2022

-- BERNAMA