KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan setakat 22 Mei lepas, sebanyak 2.86 juta permohonan pindahan amaun permulaan diterima dan dipindahkan daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel melibatkan jumlah sebanyak RM8.78 bilion.

Menurut Media Desk KWSP Jabatan Hal Ehwal Korporat, pilihan itu dibuka kepada ahli pada 12 Mei lepas.

Sementara itu, sebanyak 3.04 juta permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel diluluskan melibatkan jumlah sebanyak RM5.52 bilion.

Ketua Pegawai Operasi KWSP Sazaliza Zainuddin berkata KWSP menjangkakan jumlah permohonan untuk pemindahan amaun permulaan daripada Akaun Sejahtera mereka kepada Akaun Fleksibel akan terus meningkat sehingga tarikh tutup pada 31 Ogos 2024.

"Kami juga gembira melihat peningkatan ketara permohonan melalui aplikasi mudah alih KWSP i-Akaun. Ini mencerminkan usaha kami untuk meningkatkan pengalaman dan kebolehcapaian pengguna di samping kami terus berinovasi dan mengembangkan penawaran digital kami," katanya.

Bermula 12 Mei hingga 31 Ogos 2024, ahli diberi pilihan untuk memindahkan satu pertiga daripada baki simpanan mereka daripada Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel.

Pemindahan amaun awal ke Akaun Fleksibel adalah tertakluk kepada baki dalam Akaun Sejahtera ahli pada tarikh permohonan dibuat. Pengeluaran dari Akaun Fleksibel boleh dibuat pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan dengan pengeluaran minimum RM50.

Memandangkan tarikh tutup pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera kepada Akaun Fleksibel adalah pada 31 Ogos 2024, ahli dinasihatkan supaya tidak tergesa-gesa membuat pemindahan.

Ahli yang masih belum mendaftar dengan KWSP i-Akaun digalakkan berbuat demikian bagi membolehkan transaksi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel.

Untuk maklumat lanjut mengenai Penstrukturan Semula Akaun KWSP dan perincian berkaitan pilihan pemindahan amaun permulaan, ahli boleh rujuk laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000.

-- BERNAMA