MALAYSIA

KWSP umum penambahbaikan dasar, produk berkuat kuasa esok

Bernama 31/12/2025 | 13:30 MYT
KWSP memaklumkan, inisiatif berkenaan merangkumi langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 yang diumumkan pada 10 Okt 2025. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan beberapa penambahbaikan dasar dan produk berkuat kuasa mulai esok, bagi memperkukuh simpanan persaraan, meluaskan perlindungan sosial serta menambah baik pengalaman keseluruhan ahli.


Ringkasan AI
  • KWSP mengumumkan penambahbaikan dasar dan produk mulai esok, termasuk peningkatan had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 dari Akaun Sejahtera untuk ahli yang menunaikan ibadah haji.
  • KWSP memperkenalkan i-Saraan Plus, kemudahan caruman sukarela khusus untuk pemandu e-panggilan dan p-panggilan dengan insentif padanan kerajaan lebih tinggi hingga RM600 setahun.
  • Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) akan berkuat kuasa esok, dengan tiga tahap simpanan sebagai panduan perancangan persaraan, termasuk Simpanan Asas RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000, dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.


KWSP dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif berkenaan merangkumi langkah-langkah di bawah Belanjawan 2026 yang diumumkan pada 10 Okt 2025, selain mencerminkan komitmen berterusan institusi itu untuk memenuhi keperluan ahli, yang terus berubah serta menyokong kesejahteraan dan daya tahan kewangan jangka panjang.

Antara inisiatif utama ialah peningkatan had Pengeluaran Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000 daripada Akaun Sejahtera bagi membantu ahli yang menerima tawaran menunaikan ibadah haji

"Keperluan untuk mengesahkan baki dalam akaun simpanan Tabung Haji ahli bagi menentukan amaun kelayakan pengeluaran akan dimansuhkan, sekali gus mempermudah proses permohonan dan membolehkan ahli membuat perancangan haji dengan lebih baik," menurut kenyataan itu.

Selain itu, KWSP memperkenalkan i-Saraan Plus, iaitu kemudahan caruman sukarela khusus untuk pemandu e-panggilan dan p-panggilan dengan insentif padanan kerajaan lebih tinggi hingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup RM6,000.

Menurut KWSP, pemandu e-panggilan dan p-panggilan yang layak akan didaftarkan sebagai ahli KWSP melalui penyedia platform yang mengambil bahagian, yang turut membantu melaksanakan potongan caruman pada kadar yang ditentukan sendiri oleh pemandu.

Dalam masa sama, umur kelayakan i-Suri akan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun selaras dengan umur persaraan minimum negara, manakala insentif padanan kerajaan diteruskan pada kadar 50 peratus daripada caruman tahunan, tertakluk kepada had RM300 setahun dan RM3,000 seumur hidup.

KWSP turut memaklumkan bahawa Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) akan berkuat kuasa mulai esok, dengan tiga tahap simpanan sebagai panduan perancangan persaraan, iaitu Simpanan Asas RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000 dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.

Selaras dengan tahap Simpanan Dipertingkatkan, KWSP akan menambah baik dasar Pengeluaran Melebihi RM1 juta bagi membolehkan ahli berumur di bawah umur 55 tahun mengurus lebihan simpanan, dengan pelaksanaannya dibuat secara berperingkat melalui kenaikan had sebanyak RM100,000 setahun sepanjang tempoh tiga tahun bermula RM1.1 juta pada 2026.

Selain itu, kelayakan Skim Pelaburan Ahli (SPA) akan diselaraskan berdasarkan tahap Simpanan Asas melalui pelaksanaan berperingkat kuantum simpanan minimum, bagi memastikan lebihan simpanan yang dilaburkan tidak menjejaskan keperluan asas persaraan ahli.

Sementara itu, dalam usaha menggalakkan simpanan sukarela, KWSP turut memperkenalkan penjenamaan baharu, iaitu i-Simpan bagi Caruman Pilihan Sendiri dan i-Topup bagi Caruman Melebihi Kadar Berkanun, melengkapkan rangkaian kemudahan sedia ada seperti i-Saraan, i-Sayang dan i-Suri.

Maklumat lanjut berkaitan inisiatif berkenaan boleh dirujuk melalui soalan lazim yang disediakan di laman web KWSP www.kwsp.gov.my.

-- BERNAMA


#KWSP #Tabung Haji #PLUS #simpanan minimum