IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah menyembah maklum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung isu projek pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong, Kuala Kangsar.

Katanya menerusi sembah maklum tersebut, kerajaan negeri menjelaskan pelaksanaan pembangunan ladang hutan di kawasan seluas lebih 4,000 hektar itu dijalankan secara berhemah dan mengikut peraturan.

“Selain daripada HSK Kledang Saiong, sebelum ini juga sudah ada projek ladang hutan yang dibuat. Jadi ia bukan perkara luar subjek atau luar jangka.

“Kena ingat, perkara yang sedang dihebohkan ini adalah kerana ia sedang melalui proses pendengaran awam, Jadi orang ramai boleh memberi pandangan balas kepada kerajaan negeri (berhubung projek ladang hutan itu). Malah, projek itu juga tertakluk kepada keputusan EIA (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar) Jabatan Alam Sekitar.

“Jika Jabatan Alam Sekitar mengatakan ia tak boleh dibuat kerana risiko banjir misalnya, kita tak buatlah. Takkan kita nak langgar? Tetapi kalau tak ada (sebarang risiko alam sekitar dan disahkan Jabatan Alam Sekitar), kita boleh teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Sistem Amaran Awal Kepala Air (EWS) Dan Kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 juta pokok 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong, di sini pada Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, barisan Exco, serta Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop.

Selain itu, jelas Saarani sebelum ini Perak mendapat kelulusan daripada Persekutuan bagi projek pembangunan ladang hutan di HSK berkeluasan 100,000 hektar namun ia telah dikurangkan beberapa kali sehingga kepada 32,000 hektar.

Tambahnya angka keluasan projek ladang hutan itu kemudian terus dikurangkan kepada 6,000 hektar pada tahun lalu.

“Kena faham apa prosedur yang kita lalui dan kita cuba sedaya upaya untuk tidak menjadikan projek ladang hutan ini untuk menjadikan negeri kita ‘botak’ disebabkan kehilangan hutan.

“Ia adalah proses penanaman semula yang mana kita juga mengambil kira pelbagai faktor. Kita tidak ‘cuci bersih’ semua 6,000 hektar itu sebaliknya ia dibuat secara berperingkat mengikut petak keluasan yang ditetapkan,” jelasnya lagi.

Saarani sebelum itu diminta mengulas berkenaan tindakan enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memohon campur tangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap cadangan pelaksanaan pembangunan ladang hutan seluas 4,280 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Pada 17 Februari lalu, memorandum yang ditandatangani 150 orang itu diserahkan kepada wakil Pejabat Sultan Perak di Kuala Kangsar bagi memohon campur tangan Sultan Perak  agar projek ladang monokultur itu dibatalkan.

Dalam perkembangan sama Saarani berkata Perak menyasarkan sebanyak 10 juta pokok atau 2 juta pokok setahun dapat ditanam di seluruh negeri bagi tempoh lima tahun, yang bermula pada tahun lalu.

Katanya pada tahun 2021, kerajaan negeri berjaya mencapai sasaran iaitu menanam 2.17 juta pokok dengan keluasan 5,568.01 hektar manakala, sejumlah 2.33 juta pokok telah berjaya ditanam dengan keluasan 6,152 hektar di seluruh negeri bagi tahun 2022.