KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 74 tahun selepas disyaki memandu dari arah Plaza Tol Alam Impian menuju ke Jalan Batu 4 Shah Alam, telah dipandu dalam keadaan melawan arus.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol, kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Jumaat itu berlaku apabila pemandu telah tersalah masuk laluan bertentangan.

“Toyota Prius yang dipandu suspek telah memandu dari arah Plaza Tol Alam Impian menuju ke Jalan Batu 4 Shah Alam dalam keadaan melawan arus.

“Pemandu telah tersalah masuk laluan bertentangan di bulatan pertama selepas Plaza Tol Alam Impian dan keluar di bulatan kedua di Persiaran Tun Teja.

“Bagaimanapun tiada kemalangan dilaporkan,” jelas Ramsay dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Hasil saringan awal ujian air kencing pemandu kereta menunjukkan pemandu negatif dadah dan pemandu telah ditahan bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dengan melulu atau secara merbahaya.

Pada masa sama, pihak polis memaklumkan supaya saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli bin Razak di talian 0194475767.