Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila pintu kereta mereka tertutup sendiri lantas memerangkap bayi perempuan berusia tiga bulan yang diletakkan di tempat duduk belakang.

Dalam kejadian pukul 1.50 tengah hari pada Isnin, pintu kereta Toyota Vios itu terkunci secara tiba-tiba sebaik ibu bapa dan abang bayi itu keluar daripada kereta ketika parkir di pekarangan Pejabat Pos Slim River, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fazrul Azuan Norman berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 1.52 tengah hari, sepasukan tujuh anggota bomba termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Slim River tiba dan bertindak kurang daripada lima minit mengumpil pengunci kereta menggunakan peralatan khas.

"Sebaik tiba, bayi terbabit dalam keadaan sedar dan ibu bapanya bersama orang ramai mencuba untuk membuka kereta itu tapi tidak berjaya.

"Keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Shah Alam ke Teluk Intan dan singgah di pejabat pos tersebut untuk menyelesaikan beberapa urusan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut beliau pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada seorang anggota polis yang berada di Pondok Polis berhampiran pejabat pos berkenaan pada pukul 1.52 tengah hari.