KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan siasatan segera susulan penyebaran visual di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu terlibat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil.
Advertisement
"Semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan telah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan.
"Perbuatan tersebut bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," jelas MCMC.
Hasil pemantauan lanjut, MCMC turut turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.
Menurut MCMC, semua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.
"MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja. Tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada," ujar kenyataan itu.
Terdahulu semalam, tular sebuah gambar yang dimuat naik di aplikasi Threads memaparkan al-Quran dipijak dan diconteng dengan lakaran yang menghina Nabi Muhammad SAW.