[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Lagi kilang proses e-waste diserbu, rampasan lebih RM100 juta

Bernama 17/06/2025 | 11:21 MYT
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34B akta yang sama. - Gambar hiasan
BATU GAJAH: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lima warga Myanmar di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian di Lahat dekat sini yang dipercayai menjalankan aktiviti kitar semula sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen dengan nilai rampasan RM111.4 juta.

Ringkasan AI
  • Lima warga Myanmar ditahan di sebuah kilang di Lahat kerana disyaki menjalankan aktiviti kitar semula sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen, dengan nilai rampasan mencecah RM111.4 juta.
  • Operasi selama lima jam oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) mendapati kilang tersebut beroperasi tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar dan menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.
  • Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dan pihak berkuasa masih mengesan pemilik sebenar kilang tersebut.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun ditahan menerusi Op Hazard yang dijalankan selama lima jam bermula pada 7 malam semalam.
"Hasil risikan mendapati aktiviti memproses e-waste, plastik, logam dan aluminium dijalankan kira-kira setahun. Hasil pemeriksaan mendapati kilang ini telah beroperasi tanpa sebarang kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar.
"Kita juga masih dalam proses mendapatkan maklumat lanjut mengenai pemilik kilang ini," katanya pada sidang media berkaitan kejayaan Unit Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA Dalam Penugasan Op Hazard 2.0 di Lahat dekat sini hari ini.
Shahrum berkata hasil pemeriksaan juga mendapati pemilik kilang itu menggajikan pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Seksyen 34B akta yang sama.
-- BERNAMA
#e-waste #PGA #serbuan #Op Hazard