Lagi laporan cabul babit pengamal perubatan alternatif sama

Nur Fazlizai Ali
Disember 8, 2020 13:59 MYT
Jurujual bersama adiknya mendakwa dicabul suspek berusia 52 tahun yang digelar 'ustaz'. -Gambar hiasan
HULU TERENGGANU: Polis menerima satu lagi laporan cabul daripada dua mangsa membabitkan pengamal perubatan alternatif ketika mendapatkan rawatan di Hulu Terengganu.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata laporan terbaharu itu dibuat seorang jurujual bersama adiknya yang mendakwa dicabul suspek berusia 52 tahun yang digelar 'ustaz'.
"Dalam kejadian pada 9 September 2018, mangsa yang ketika itu berusia 23 tahun bersama adiknya telah mendapatkan rawatan bersama suspek terbabit.
"Dakwanya semasa rawatan tersebut suspek memaklumkan mangsa dan adiknya telah terkena buatan orang dan meneruskan rawatan kepada mereka berdua.
"Semasa rawatan dilakukan 'ustaz' tersebut didakwa telah memeluk dan mencabul mangsa, perbuatan yang sama turut terjadi kepada adik mangsa yang berusia 20 tahun ketika itu," katanya di sini, hari ini.
BACA: Pengamal perubatan alternatif ditahan disyaki cabul jurujual wanita
Beliau berkata, Pada Isnin, mangsa telah terbaca berita berhubung kejadian sama seperti dialaminya di kawasan yang dipercayai sama, lalu menyebabkannya tampi membuat laporan polis.
Terdahulu polis telah menahan seorang peniaga yang juga pengamal perubatan alternatif digelar 'ustaz' selepas dipercayai mencabul seorang jurujual
Suspek berusia 52 ditahan kira-kira jam 4 petang Sabtu di sekitar Hulu Terengganu.
#cabul #rawatan alternatif #perubatan #ustaz #Hulu Terengganu #pusat perubatan #jurujual #polis