SIBU: Satu lagi objek dipercayai serpihan roket Long March 5B milik China dilaporkan ditemui di kawasan Rumah Panjang Renyam, Sungai Asan Bayu pada Sabtu.

Serpihan roket berukuran dua inci lebar dan tiga inci panjang itu menembusi atap zink rumah berkenaan dan meninggalkan bekas berlubang.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Balai Bomba Bintangor menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis pada jam 8.50 malam Sabtu.

“Menurut pemilik rumah kemungkinan objek tersebut berada di atas atap beberapa minggu yang lepas. Ini kerana dia baru sahaja pulang ke rumah itu.

“Objek tersebut hanya disedari setelah pemilik rumah balik dan menyedari atap rumahnya bocor, sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu laporan pada Ahad.

Serpihan roket tersebut telah dibawa oleh pihak polis daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sibu dan Balai Polis Lanang untuk siasatan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan, serpihan roket berkenaan merupakan sebahagian daripada roket milik China yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di Wenchang, selatan China pada 31 Julai lalu.

Serpihan roket berkenaan terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan ini turut melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan dan terjatuh di beberapa kawasan di Sarawak.

Antaranya di Kampung Semawa Ulu, Pantu Sri Aman, dan di beberapa kawasan lain termasuk Kampung Nyalau, Bintulu, Sepupok Lama, Niah serta Kalimantan, Indonesia.