Lagi pemandu mabuk ditahan di Kedah

Adie Sufian Zulkefli
Jun 3, 2020 06:37 MYT
Seorang anggota polis melakukan ujian pernafasan ke atas seorang pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk di Kelibang, Langkawi pada Selasa malam. - Gambar PDRM
Seorang pemandu yang dalam keadaan mabuk ditahan di Kelibang, Langkawi pada Selasa malam.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, pemandu itu ditahan kira-kira pukul 10 malam dalam ‘Op Mabuk’ yang dilakukan polis Langkawi.
Menurut Mohd Iqbal, ketika ditahan pemandu berusia 45 tahun itu dalam keadaan khayal dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol yang berlebihan.
Beliau berkata, hasil saringan awal ujian pernafasan mendapati pemandu tersebut positif melebihi kandungan bacaan 164mg/100ml.
Pemandu tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam operasi selama empat jam itu sebanyak 10 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
#Kedah #Langkawi #Op Mabuk #pemandu mabuk