'Lagipun kalau isu yang berlaku 1987/88, Najib boleh ingat dia nak mandikan keris dengan darah' - Tun M

Astro Awani
Februari 10, 2021 08:13 MYT
Dr Mahathir turut berkata, Najib tidak perlu campur tangan dengan tuduhan yang dibuat oleh Tommy Thomas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perseteruan antara dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak belum ada penghujungnya dengan masing-masing berbalas kenyataan di media sosial.
Selepas Najib menyanggah kenyataan tidak campur tangan dalam badan kehakiman negara dan mentertawakannya, Dr Mahathir membalasnya dengan meminta Ahli Parlimen Pekan itu memberi perhatian kepada kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dr Mahathir juga secara sinis berkata, jika Najib boleh mengingati isu yang berlaku pada 1987 dan 1988 - isu pemilihan UMNO dan pengharaman parti itu, Najib juga boleh mengingati peristiwa dia ingin mandikan keris dengan darah.
"Saya rasa Najib tak payah campur tangan dengan tuduhan terhadap saya. Dia harus fokus kes curi duit rakyat berbilion-bilion dalam 1MDB.
"Dia juga perlu bagi perhatian saman Tommy Thomas yang kait dia dengan pembunuhan Altantuya. Lagipun, kalau isu yang berlaku 1987/88, Najib boleh ingat (peristiwa) yang dia 'hunus' keris," kata Dr Mahathir.
Sebelum ini, Najib menyanggah dakwaan Dr Mahathir yang mendakwa pembatalan pendaftaran UMNO pada 1998 sebagai bukti tidak campur tangan dalam badan kehakiman negara.
Menyokong hujahnya, Najib berkongsi apa yang berlaku pada tahun tersebut hingga menyebabkan UMNO diharamkan dan tertubuhnya UMNO baharu.
Sumber Facebook Tun Dr Mahathir
#Mahathir Mohamad #Najib Razak #berseteru #1MDB #keris #UMNO #kehakiman #bada kehakiman