IPOH: Kerajaan Negeri Perak sentiasa memandang serius faktor keselamatan di setiap sekolah bagi mengelakkan terjadinya kemalangan tidak diduga.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata keadaan tidak selamat termasuk kemudahan dan infrastruktur sekolah yang tidak diselenggara menjadi faktor utama menyebabkan berlakunya kemalangan.

Justeru, beliau menyarankan pihak sekolah di Perak melakukan penilaian risiko terhadap ancaman bahaya persekitaran dan peralatan yang digunakan di sekolah dengan kerjasama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak sekolah kerana isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di kawasan sekolah perlu diberi penekanan khusus untuk mewujudkan sekolah yang selamat kepada semua pihak.

"Saya harap JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan pihak sekolah khususnya, sentiasa proaktif dalam menangani masalah kawasan berisiko kemalangan di sekolah," katanya selepas program Ziarah Cakna ke rumah atlet Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) Sukan Olimpik Khas Dunia Berlin 2023 dekat sini pada Jumaat.

Sementara itu, mengenai insiden di Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan, beliau berkata tindakan segera telah diambil oleh pihak sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan kes berkenaan telah selesai.

Beliau berkata pelajar terbabit juga dikhabarkan tidak mengalami kecederaan serius dan telah mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Dalam kejadian Selasa lepas, seorang murid perempuan Tahun Tiga SK Perpaduan, Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, cedera ditimpa tangki pam tandas yang tercabut ketika menggunakannya.

-- BERNAMA