MALAYSIA

Laksana reformasi DBKL terlebih dahulu

Farhan Hakimi 05/02/2026 | 14:29 MYT
Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata langkah itu tidak boleh ditangguhkan, terutamanya apabila wujud pelbagai salah laku dalam pengurusan agensi berkenaan.
KUALA LUMPUR: Keperluan reformasi menyeluruh dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat lebih mendesak.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata langkah itu tidak boleh ditangguhkan, terutamanya apabila wujud pelbagai salah laku dalam pengurusan agensi berkenaan.

"Bagi saya 'reform', DBKL ni 'reform', memang kita tau ada kartel, rasuah, dan kita tahu apa-apa perkara yang itu (berlaku)," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pendekatan yang dianggap lebih praktikal ialah pemilihan ahli majlis terlebih dahulu sebelum mereka menentukan Datuk Bandar.

"Memilih Datuk Bandar secara langsung dianggap sukar dilaksanakan di Malaysia kerana sistem itu masih asing kepada rakyat.

"Kita pergi kepada sistem terdahulu di mana rakyat memilih ahli majlis, dan ahli majlis tersebut memilih Datuk Bandar," ujarnya.

Tambahnya, pada masa sama, kaedah itu dapat mengetengahkan perwakilan berkadar parti-parti politik tempatan selain mekanisme seperti kuota kaum dan jantina juga boleh dipertimbangkan dalam pelantikan berkenaan bagi menjamin keterangkuman dan mengelakkan persepsi mana-mana kelompok terpinggir.

Mereka berkata demikian selaku panelis pada forum KL Mayor: Is It Time to Elect? di ibu negara hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian sedang dijalankan berkenaan proses pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau turut memaklumkan, kajian tersebut dijalankan sejak Disember lalu, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, dengan tujuan melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.


#DBKL #pbt #Datuk Bandar #Kuala Lumpur #pilihan raya #Hannah Yeoh