KUCHING: Pembinaan dan naik taraf jalan raya menghubungkan Buduk Nur, Ba’ Kelalan dengan sempadan Kalimantan, Indonesia perlu dilaksanakan dengan kadar yang segera.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ba’ Kelalan, Baru Bian berkata laluan tersebut kini berada dalam keadaan yang sangat berbahaya untuk dilalui oleh kenderaan.

Jelasnya, peruntukan RM80 juta yang diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Oktober tahun lalu telah merangkumi laluan tersebut sebagai sebahagian Projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR).

“Peruntukan tersebut telah diumumkan penghujung Oktober tahun lalu dan telah diluluskan untuk membina sebahagian jalan tersebut daripada Long Lupeng yang akan digabungkan dengan SSLR.

“Beliau (Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan) mengambil maklum bahawa Ba’ Kelalan merupakan kawasan yang strategik, terletak di antara sempadan negara yang  berpotensi untuk meningkatkan aspek pasaran produk pertanian dan eko-pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu menegaskan jalan tersebut bakal memudahkan penyaluran bekalan elektrik dan air bersih ke pedalaman serta kawasan setempat termasuk pembinaan menara telekomunikasi.

Keadaan jalan berselut ini hanya mampu dilalui kenderaan jenis pacuan empat roda dan merisikokan pengguna. - Foto: Baru Bian


Bukan hanya berselut, laluan ini juga licin dan tidak berturap dan mampu mengundang kecelakaan kepada pengguna. - Foto Baru Bian

“Projek ini perlu dilaksanakan segera tanpa dilengahkan, sementara Ahli Parlimen Lawas juga perlu mengutarakan perkara ini kepada Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kerja Raya.

“Laluan ini sangat penting menjelang pembinaan  Kompleks Kastam, Imigresen, dan Kuarantin Sarawak (CIQS) di hujung jalan hampir dengan sempadan Indonesia, sementara projek CIQS itu juga dianggap sebagai projek sakit yang memerlukan perhatian sewajarnya,” ujarnya.

Tambah Baru, penduduk Puneng Kelalan menggunakan laluan berkenaan setiap hari dan mengganggu aktiviti harian termasuk merosakkan kenderaan mereka.

“Sekarang ini Ahli Parlimen Lawas dan Menteri Kerja Raya sekarang berada bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah tulang belakang kepada kerajaan negeri.



“Semestinya isu ini boleh diselesaikan terutama selepas projek pembinaan sebahagian laluan ini telah diumumkan  oleh Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Lawas ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri di persekutuan,” katanya.