Laluan ke Bangunan SUK Perak ditutup, dilencong sempena sidang DUN

Bernama
Disember 19, 2022 12:24 MYT
Penutupan sementara dan lencongan jalan akan bermula pada 7.30 pagi hingga 12 tengah hari. - Gambar fail
IPOH: Laluan ke pintu utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab akan ditutup sementara manakala trafik di Jalan Kuala Kangsar akan dilencongkan esok sempena Istiadat Pembukaan Tahun Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 Perak.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata penutupan sementara dan lencongan jalan akan bermula pada 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.
"Penutupan adalah di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab iaitu hadapan Bangunan SUK hingga ke bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak manakala trafik dari Jalan Kuala Kangsar akan dilencongkan ke Jalan Raja Muda Aziz," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata pihaknya mencadangkan orang ramai menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan lalu lintas sepanjang persidangan itu berlangsung.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dijadual berangkat merasmikan istiadat berkenaan pada 10 pagi esok.
-- BERNAMA
#Bangunan Perak Darul Ridzuan #Istiadat Pembukaan DUN ke-15 Perak #Sultan Nazrin Shah #Yahaya Hassan