MALAYSIA
Laluan lintasan hidupan liar pertama Johor dibina dengan kos RM66 juta

Projek membabitkan kos keseluruhan RM66 juta itu meliputi kajian awal tanah, geologi, reka bentuk, pemindahan infrastruktur, pembinaan jalan sementara dan jejambat. - Gambar/ FB Ah Soon
JOHOR BAHRU: Laluan lintasan hidupan liar pertama di Johor bakal dibina di Jalan Persekutuan FT50 yang menghubungkan Kahang, Kluang ke Mersing dalam usaha melindungi haiwan berkenaan sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
Ringkasan AI
- Laluan lintasan hidupan liar pertama Johor akan dibina di Jalan Persekutuan FT50 antara Kahang, Kluang dan Mersing dengan kos RM66 juta, melibatkan pembinaan jejambat setinggi lapan meter dan panjang 200 meter, dijangka siap pada Februari 2028.
- Laluan ini merentasi kawasan hutan penting seperti Hutan Simpan Labis dan Panti yang menjadi habitat Harimau Malaya, gajah, tapir dan harimau bintang, serta sering menjadi lokasi kemalangan melibatkan haiwan liar.
- Projek ini bertujuan melindungi hidupan liar dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya, dengan penanaman tumbuhan khas di bawah jejambat untuk memandu haiwan melintas, selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh ekosistem semula jadi Johor.
"Jalan yang terletak di kawasan sempadan Hutan Simpan Labis ke Mersing serta Hutan Simpan Panti dan Kota Tinggi atau dikenali sebagai 'Central Forest Spine' (CFS) ini, sering menjadi laluan hidupan liar yang bergerak antara kedua-dua kawasan hutan.
"Kawasan hutan seluas 31,000 hektar ini juga merupakan habitat penting bagi hidupan liar malah beberapa rakaman video memaparkan haiwan seperti Harimau Malaya, gajah, tapir Malaya dan harimau bintang melintas kawasan tersebut pernah tular sebelum ini," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu, Ling berkata terdapat insiden kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan melanggar haiwan liar, justeru pihak berkuasa berpendapat pembinaan laluan khas ini perlu bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta hidupan liar.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek menaik taraf jalan sejauh 1.2 kilometer itu merangkumi pembinaan jejambat setinggi lapan meter dan panjang 200 meter, selain pihak berkuasa akan menanam tumbuhan khas di bawah jejambat berkenaan bagi menarik serta 'memandu' hidupan liar menyeberangi jalan melalui laluan tersebut.
"Hidupan liar merupakan komponen penting dalam ekosistem semula jadi malah menjadi antara sumber alam yang diberi tumpuan untuk dilindungi di Johor.
"Oleh itu kerajaan negeri akan terus menggerakkan pelbagai projek pemuliharaan ekologi semula jadi melalui jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan Johor mampu mengekalkan keseimbangan ekosistem semula jadi meskipun sedang pesat membangun dari segi ekonomi," katanya.
Semalam, Ling turun padang melawat projek berkenaan yang turut dihadiri Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah serta agensi terlibat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami