[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

Laluan terputus musim tengkujuh, Orang Asli Gua Musang mohon bantuan perahu

Bernama 16/12/2025 | 10:22 MYT
Hujan lebat berterusan menyebabkan paras Sungai Aring melimpah dan menenggelamkan jalan masuk ke perkampungan itu. - Bernama
GUA MUSANG: Lebih 300 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Aring 5 di sini, merayu campur tangan pihak berwajib bagi penyediaan perahu atau bot sebagai kemudahan perhubungan selepas laluan utama ke penempatan mereka sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh.

Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5 Raina Anjang berkata hujan lebat berterusan menyebabkan paras Sungai Aring melimpah dan menenggelamkan jalan masuk ke perkampungan itu, sekali gus memutuskan hubungan darat penduduk dengan kawasan luar.

Beliau berkata penduduk terpaksa menggunakan kaedah tradisional dengan membina rakit buluh secara bergotong-royong sebagai pengangkutan sementara untuk meredah banjir, termasuk ketika kejadian terbaharu semalam yang menenggelamkan jambatan besi di Sungai Chuan serta laluan utama ke kampung.

"Kira-kira 12 orang penduduk terpaksa bergotong-royong membuat rakit buluh semata-mata untuk keluar kampung bagi urusan harian. Hujan berterusan sejak Ahad lepas menyebabkan jalan langsung tidak dapat dilalui pada pagi semalam.

"Banyak penduduk yang ingin ke bandar Gua Musang untuk membeli barangan keperluan terkandas dan kami terpaksa menggunakan rakit kerana kampung ini tidak mempunyai perahu atau bot," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan dan Terengganu Mohd Faedyzal Mohamed berkata pihaknya mengambil maklum kesukaran yang dihadapi penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan setiap kali musim tengkujuh.

Beliau berkata laluan utama yang ditenggelami air bukan sahaja menjejaskan pergerakan harian penduduk, malah memberi kesan kepada urusan persekolahan, rawatan kesihatan serta bekalan keperluan asas.

"Sehubungan itu, JAKOA sedang dan akan mengambil tindakan proaktif dengan mendapatkan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia bagi penyediaan bot sementara untuk tujuan kecemasan dan perhubungan, selaras dengan komitmen jabatan bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup komuniti Orang Asli terus terpelihara," katanya.

-- BERNAMA

#monsun #tengkujuh #laluan putus #Orang Asli #Gua Musang #perahu