MALAYSIA
Lampu solar menerangi JRTB, moga tragedi kehilangan nyawa tidak berulang

Pemasangan lampu solar kini sudah berfungsi di beberapa lokasi berisiko di sepanjang jajaran yang menghubungkan Perak dan Kelantan ketika tinjauan di JRTB Gerik-Jeli, 30 Julai 2025. --fotoBERNAMA
GERIK: Pengguna jalan raya menyambut baik dan menzahirkan kesyukuran dengan pemasangan lampu solar di beberapa lokasi berisiko di sepanjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli dan berharap tragedi kehilangan nyawa tidak berulang.
Tinjauan Bernama di sepanjang jajaran yang menghubungkan Perak menghala ke Kelantan itu jelas menunjukkan keadaan bertambah baik dan lampu-lampu solar menerangi lokasi berkenaan termasuk kawasan kemalangan yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lepas.
Anggota Sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team Mohd Amir Faizal, 47, berkata beliau melihat sendiri penambahbaikan yang sedang dilakukan kerajaan dan mendengar maklum balas kelegaan dan menggembirakan daripada orang ramai terutama pengguna laluan berkenaan.
"... bukan hanya lampu (dipasang), beberapa penambahbaikan giat dilakukan oleh kerajaan seperti menukar tar baharu untuk membaiki struktur jalan, membaiki divider (pembahagi) dan memasang cerucuk di lokasi berisiko. Sesungguhnya apa yang dilakukan kerajaan ini sesuatu yang sangat baik. Terima kasih," katanya kepada Bernama.Mohd Amir yang telah lima tahun melaksanakan kerja-kerja bantuan kecemasan kepada pengguna JRTB berharap penambahbaikan itu lebih menjamin keselamatan dan mengelak berlakunya kemalangan yang tidak diingini.
Pengusaha kedai makan di pekan Gerik Oswarli Ramli, 65, berkata pemasangan lampu solar itu mampu mengurangkan kemalangan yang berlaku di sepanjang laluan 123 kilometer (km) itu yang agak gelap dan berisiko tinggi terutama kepada mereka yang jarang-jarang menggunakannya.
"Saya gunakan jalan itu sejak dibuka dan langkah pemasangan lampu solar tepat kerana pengguna dapat mengetahui dengan jelas keadaan jalan dan kawasan sekeliling, lebih-lebih lagi JRTB menjadi laluan aktif bagi haiwan liar seperti gajah," katanya sambil menambah papan tanda amaran juga perlu diperbanyak.
Bagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Mohamad Afif Harun, 28, pemasangan lampu solar bukan sahaja mampu mengurangkan risiko kemalangan, malah turut membantu mencegah kes kecurian kabel yang sering berlaku pada lampu jalan konvensional.

Gajah liar berkeliaran ketika wakil Bernama melalui jalan tumpuan haiwan tersebut di JRTB Gerik-Jeli, 30 Julai 2025. --fotoBERNAMA
"Cuma bagi saya, penyelenggaraan perlu dibuat secara kerap bagi memastikan kemudahan itu berfungsi dengan baik dan memberi pencahayaan yang jelas kepada pengguna laluan itu," katanya.
Seorang lagi pengguna Hamisah Ismail, 54, menyatakan kelegaan dan berterima kasih atas langkah proaktif pihak kerajaan dalam memastikan laluan JRTB lebih selamat dengan pemasangan lampu itu.
"Dulu, tiap bulan pasti dengar berita kemalangan maut atau cedera parah. Lampu solar ini bukan sahaja mudahkan pengguna, tapi turut bantu kenal pasti keadaan jalan di situ yang mempunyai banyak selekoh tajam dan berbukit," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak Zamri Mat Kasim ketika dihubungi berkata kontraktor yang dilantik sedang giat melaksanakan pemasangan 385 lampu di lokasi yang dikenal pasti sejak awal Julai lepas.
"Selain pemasangan lampu jalan jenis solar, JKR turut melaksanakan penyenggaraan menurap semula jalan dan garisan jalan termasuk perabot jalan seperti penghadang jalan, chevron dan papan tanda yang rosak diganti baharu," katanya.
Beliau berkata laluan JRTB membabitkan Gerik-Jeli ataupun Jalan Persekutuan FT04 ini telah diberi perhatian untuk kerja menaik taraf pada Jun 2023.
"Kita merancang kerja-kerja naik taraf ini bukan baru atau selepas kemalangan terjadi sebelum ini. Cuma, kerja-kerja menaik taraf itu mempunyai prosedur yang perlu diikuti sebelum kerja di lapangan dijalankan," katanya.
Sebelum ini, Bernama melaporkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kementerian merangka pelan jangka pendek dan panjang bagi memastikan penyenggaraan serta penambahbaikan JRTB dapat dilaksanakan secara berperingkat, berimpak tinggi dan mampan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami