MALAYSIA
Langgar Akta Kualiti Alam Sekeliling: Kilang sekerap logam didenda RM256,000
Mahkamah membuat keputusan itu selepas Pengarah Syarikat yang mewakili syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Sebuah kilang memproses sekerap logam dan buangan terjadual e-waste dekat sini didenda RM256,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor, semalam bagi enam kesalahan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturannya.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor Wandi Yadzid Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas Pengarah Syarikat yang mewakili syarikat berkenaan selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah.
Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza turut menjatuhkan hukuman penjara 39 bulan jika gagal membayar denda itu.
"Berdasarkan fakta kes, satu operasi bersepadu telah dijalankan susulan aduan awam yang diterima berkaitan dengan sebuah premis tidak berlesen yang beroperasi di Ladang Kelapa Sawit Jalan Holmwood, Kuala Selangor pada 16 Mac 2022.
"Siasatan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti pemprosesan dan pemerolehan kembali logam melalui penemuan 126 palet bahan yang mengandungi Printed Circuit Board (PCB), satu unit mesin furnace (relau) dan empat unit lagi furnace yang masih dalam pembinaan. Selain itu, didapati juga terdapat satu unit cerobong yang pembinaannya tidak dilengkapi dengan sistem kawalan pencemaran udara," katanya.
Wandi Yadzid berkata lima pertuduhan dibuat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah Seksyen 34B(4), Seksyen 34A(8) dan Seksyen 18(3) manakala satu lagi pertuduhan di bawah Peraturan 29, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
"Pegawai Pendakwa JAS Selangor telah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat agar menjadi pengajaran kepada syarikat untuk menghormati undang-undang serta kedaulatan negara dengan menjalankan aktiviti pembangunan serta pengoperasian premis mengikut kehendak perundangan negara.
"JAS menasihatkan syarikat untuk lebih bertanggungjawab dan tidak merendahkan kelestarian alam sekitar dalam mengejar keuntungan," katanya.
Sementara itu, Wandi Yadzid berkata semua premis industri diingatkan supaya sentiasa patuh kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
-- BERNAMA