Langgar lari Cyberjaya: Suspek utama disambung reman lima hari

Bernama
Oktober 23, 2018 07:57 MYT
Tiga lelaki warga Libya dan Yemen diiringi polis ketika di Mahkamah Majistret Sepang siang tadi. - BERNAMA
Suspek utama kes langgar lari sehingga mengakibatkan kematian seorang pekerja Telekom Malaysia Bhd (TM) Unifi di Shaftsbury Square, Cyberjaya Rabu lepas, disambung reman selama lima hari bermula hari ini.
Majistret Yusna Khadijah Md Yusop membenarkan lelaki warga Libya berusia 23 tahun itu direman bagi membantu polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu.
Turut direman bagi tempoh sama ialah dua rakannya warga Yemen, 22, dan Libya, 20, kerana dipercayai melindungi suspek utama.
Sebelum ini, suspek utama itu direman lima hari di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan tempoh tahanan berakhir hari ini.
Menurut peguam suspek, Mohd Redhuan Mohamed Yusoff, kesemua suspek itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kes langgar lari itu, di mana video kejadian itu tular, mangsa Penolong Pengurus GTM Event Sales, Wan Amirah Wan Alias, 31, meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut. -- Bernama
BACA: Langgar lari Cyberjaya: Polis tahan empat pelajar
BACA: Langgar lari Cyberjaya: Jenazah mangsa selamat dikebumi
BACA: Langgar lari Cyberjaya: Berang dilarang parkir di petak OKU rupanya
#langgar lari cyberjaya #pelajar asing #Wan Amirah Wan Alias