MALAYSIA

Langgar lari: Pelajar Tingkatan Empat maut, seorang lagi cedera parah

Umavathi Ramayah 24/08/2025 | 08:16 MYT
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa menunggang motosikal sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di lorong tengah. - Gambar IPD Shah Alam
SHAH ALAM: Seorang pelajar Tingkatan Empat maut sementara seorang lagi cedera parah dalam kejadian langgar lari di Kilometer 1.2 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini awal pagi Ahad.


Ringkasan AI
  • Seorang pelajar Tingkatan Empat dari SMK Meru, Klang, maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terjatuh di lorong tengah Lebuhraya NKVE sekitar jam 2.30 pagi.
  • Seorang lelaki berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang cuba membantu mangsa, namun kedua-duanya dilanggar oleh sebuah kenderaan yang terus melarikan diri.
  • Pelajar tersebut meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki yang membantu mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Zon Merah Hospital Shah Alam.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 16 tahun yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang, menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda sebelum dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh di lorong tengah.

"Seorang lagi penunggang motosikal berusia 22 tahun yang kebetulan melalui lokasi kejadian berhenti untuk membantu mangsa.

"Namun, secara tiba-tiba sebuah kenderaan dari arah sama melanggar kedua-duanya sebelum terus meninggalkan lokasi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Akibat kejadian itu, katanya, pelajar berkenaan maut di tempat kejadian, manakala penunggang yang cuba membantu mangsa cedera parah di kepala.

Mangsa cedera yang bekerja sebagai penghantar barang itu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut di Zon Merah, Wad Kecemasan.

Mohd Iqbal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851 atau mana-mana balai polis berhampiran.



#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #penunggang motosikal #langgar lari #Polis Diraja Malaysia