Kerajaan boleh mempertimbangkan hukuman lebih berat ke atas kepada mana-mana individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan ingkar arahan kuarantin.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu tertakluk di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Pihak polis diberikan kuasa untuk mengambil tindakan dan boleh menggunakan budi bicara.

"Dalam akta itu jelas (menyatakan) kompaun. Kalau tidak kompaun, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah. Jadi, tindakan berat berdasarkan Akta 342 dan kita berikan kuasa budi bicara kepada pihak polis.

"Kalau kes seperti sebelum ini, apabila ramai yang langgar perintah tidak boleh keluar rumah dan memakai gelang kuarantin, (setakat ini) sudah lebih 30 kes dan ia telahpun dihantar ke peguam negara untuk mengambil tindakan.

"Ini merupakan tindakan yang serius oleh kerajaan," katanya dalam sidang media, di sini pada Isnin.