MELAKA: Polis akan memanggil beberapa lagi orang calon dan penyokong parti politik membantu siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika hari penamaan calon, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah berkata setakat ini pihaknya telah membuka lima kertas siasatan selepas didapati mereka berkumpul untuk menunjukkan sokongan berhampiran Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Kuala Linggi, Telok Mas, Kota Laksamana dan Asahan.

"Apabila kertas siasatan dibuka polis menjalankan siasatan bagi mana-mana pihak yang terlibat termasuk siapa yang bawa mereka, bagaimana mereka berada di situ dan berapa ramai yang dibawa ketika proses penamaan calon tersebut.

Setakat ini kita baharu sahaja memanggil seorang semalam dan panggil lagi mana-mana pihak yang terlibat tetapi setakat ini kita masih mengumpul maklumat berkaitan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Razali berkata siasatan dijalankan mengikut Perkara 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Isnin lepas Razali dipetik sebagai berkata berkata dua laporan diterima membabitkan kejadian di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara di sini serta Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas di Melaka Tengah.

Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara menjadi lokasi pencalonan bagi kerusi yang dianggap "panas", N02 Tanjung Bidara, yang mengetengahkan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN) dan Zainal Hassan daripada Pakatan Harapan (PH).

Sementara Kompleks Komuniti Desa Telok Mas di Melaka Tengah, merupakan lokasi berlangsungnya pencalonan bagi kerusi DUN Telok Mas (N 23) yang menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen daripada PN, Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas), Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (PH) dan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN).

Sebelum ini pada Ahad lepas media melaporkan polis memberi amaran keras kepada mana-mana parti politik bertanding supaya mengikut arahan dan peraturan ditetapkan oleh Suruhanjaya Piliharan Raya (SPR) selain tidak membawa penyokong ke pusat penamaan calon.

-- BERNAMA