[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
NATIONAL

Langgar SOP, siapa pun tidak akan terlepas - Ismail Sabri

Hasimi Muhamad 22/08/2020 | 05:23 MYT
Ismail Sabri beramah mesra bersama Veteran ATM, Juragan Buyong, 60, (duduk) ketika hadir pada majlis bersama Veteran Angkatan Tentera sempena PRK DUN Slim di Dewan Felda Gunung Besout 2 hari ini. --fotoBERNAMA
Kerajaan sekali lagi mengulangi pendirian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, termasuk dalam kes yang membabitkan seorang menteri.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian merujuk kes seorang menteri yang didakwa melanggar arahan kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara.
Ismail Sabri berkata, pihaknya menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyiasat perkara itu.
Jelasnya, jika menteri berkenaan didapati bersalah, ia tertakluk kepada KKM untuk memutuskan sama ada mengenakan kompaun atau tindakan lain mengikut undang-undang yang ditetapkan.
"Saya sudah kata, setiap orang tidak bebas daripada (undang-undang) dan mengatasi undang-undang, sama ada timbalan menteri atau menteri.
"Kalau mereka melakukan kesalahan melanggar SOP pasti akan dikenakan tindakan. Apa tindakan tersebut, terpulang kepada KKM. Sama ada KKM nak kompaun atau sebagainya, terserah kepada mereka," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini, hari ini, Ismail Sabri diminta mengulas kes membabitkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
BACA: "Saya bukan punca masjid ditutup" - Dr Khairuddin gesa tunggu penjelasan KKM
BACA: PKP: Timbalan Menteri Kesihatan beri keterangan kepada polis, mohon maaf hadir jamuan
Mohd Khairuddin didakwa tidak menjalani kuarantin 14 hari sekembalinya dari Turki pada 7 Julai lalu selepas berada di negara itu selama beberapa hari.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
#COVID-19 #ingkar SOP #ismail sabri yaakob #KKM #langgar SOP #menteri #MKN #PRK DUN Slim #SOP #undang-undang