NATIONAL
Langgar syarat permohonan maaf, KPN fail prosiding komital kedua terhadap Papagomo
Permohonan itu berhubung kes saman RM3 juta yang difailkan Razarudin selaku plaintif terhadap Wan Muhammad Azri sebagai defendan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain sekali lagi memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk memulakan prosiding komital terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo kerana melanggar syarat permohonan maaf yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Permohonan itu berhubung kes saman RM3 juta yang difailkan Razarudin selaku plaintif terhadap Wan Muhammad Azri sebagai defendan atas dakwaan memfitnah yang turut membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peguam Raam Kumar, yang mewakili Razarudin ketika dihubungi pemberita mengesahkan mengenai permohonan itu, dan memaklumkan mahkamah menetapkan Jumaat ini (9 Mei) untuk pendengaran bagi mendapatkan kebenaran berkenaan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
Berdasarkan notis permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 5 Mei, plaintif memohon suatu perintah pengkomitan agar defendan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah serta dipenjarakan kerana menghina mahkamah.
Razarudin berkata ini kerana defendan gagal mematuhi syarat untuk memadamkan terbitan video berkaitan fitnah terhadapnya bertarikh 14 dan 15 Jan selain tidak menyiarkan permohonan maaf yang dibacakan di mahkamah pada 30 April di platform media sosial YouTube, TikTok, X dan Telegram milik defendan.
Menurut plaintif, pada 8.30 malam, 1 Mei lepas, defendan dengan sengaja menerbitkan satu video menerusi TikTok (Papa Azri) dan YouTube (Sir Azri), dan kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan bertulis permohonan maaf yang telah dipersetujui dalam perintah komital sebelum ini.
"Permohonan maaf yang dibuat oleh defendan pada 30 April lepas adalah tidak ikhlas dan tanpa penyesalan meskipun ia dibuat tanpa syarat," kata Razarudin dalam permohonan itu.
Pada 10 Feb lepas, mahkamah memberi kebenaran kepada Razarudin untuk memulakan prosiding komital terhadap Wan Muhammad Azri kerana didakwa tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Jan lepas dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta Telegram.
Bagaimanapun, pada 30 April, Wan Muhammad Azri mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat kepada Razarudin kerana melanggar perintah injunksi itu.
Injunksi berkenaan melarang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbit atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sama ada dalam kapasiti rasmi sebagai KPN mahupun secara peribadi. Ini termasuk secara bertulis, lisan, video, platform dalam talian atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri untuk menarik balik dan memadam video yang dimuat naik pada 14, 15, 20 dan 22 Dis 2024 di akaun YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
-- BERNAMA