KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil tiga pempengaruh media sosial untuk memberi keterangan berhubung gerakan "Langkah Dubai" yang dikatakan bertujuan menjatuhkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tiga individu berkenaan adalah Badrul Hisham Shaharin atai dikenali di media sosial sebagai Che'Gu Bard, Wan Muhammad Azri (papagomo) dan Salim Iskandar.

Bercakap dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini, beliau berkata kesemua mereka akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Menurutnya mereka didapati menggunakan media sosial sebagai platform untuk berbicara mengenai isu berkenaan.

"Selain mereka, beberapa pemimpin parti politik juga akan dipanggil untuk beri keterangan," katanya.

Razarudin berkata polis sehingga kini menerima 43 laporan polis daripada wakil pelbagai parti politik berhubung gerakan Langkah Dubai, di seluruh negara.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.

Berikutan itu, katanya polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk melakukan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Selain itu, ia boleh disimpulkan sebagai aktiviti yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan menimbulkan keresahan.

"Saya boleh beri jaminan bahawa situasi negara ketika ini stabil dan polis telah pun membuat persediaan sekiranya ia (Langkah Dubai) menjejaskan ketenteraman awam negara," katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia sangat prihatin akan keamanan dan polis akan memastikan keselamatan mereka semua terpelihara.

Selain itu, Razarudin berkata polis turut mengesan video blogger Raja Petra Kamaruddin yang bercakap berkaitan perkara itu (Langkah Dubai) lebih daripada 10 hari.

"Polis sedang menyiasat video tular yang menyaksikan tiga atau empat individu bercakap tentang gerakan menukar kerajaan. Salah seorang daripadanya ialah Raja Petra Kamarudin," katanya.

Pada 30 Dis lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa "Langkah Dubai" timbul sewaktu percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA