IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, langkah lebih tegas perlu diperkenalkan dan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh untuk memelihara alam sekitar.

Titah baginda, rakyat hendaklah menjadi mata dan telinga, sama-sama bersuara di samping membantu usaha mencegah perbuatan merosakkan alam sekitar seperti pembuangan sisa plastik.

Menurut baginda, konsep pengguna dikenakan bayaran di premis-premis perniagaan, bertujuan mengurangkan penggunaan plastik, ternyata tidak berkesan. 

“Masyarakat perlu diberikan kesedaran dan didikan mengenai program kelestarian alam.

“Pendekatan melalui pendidikan dipercayai lebih berkesan dan perlu dipertingkatkan dan diperluaskan.

“Belia, pelajar, institusi pendidikan, badan-badan bukan kerajaan, masjid, surau dan rumah-rumah ibadat, disarankan berada di barisan hadapan untuk memenuhi tanggungjawab fardu kifayah menjayakan program kelestarian alam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Kelima Belas Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, mutahir ini, Malaysia menjadi antara destinasi utama lambakan e-waste global yang dibawa masuk secara haram.

Baginda memberi contoh, pada 15 15 Februari lalu, Perak dikejutkan apabila barangan bernilai satu perpuluhan tiga bilion ringgit, disita melalui serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah kilang memproses e-waste yang beroperasi secara haram di Sungai Siput. 

“Insiden ini mengundang persoalan, bagaimana pelbagai pihak berkuasa boleh terlepas pandang tentang kewujudan sebuah kilang yang tersergam, boleh beroperasi secara haram di kawasan terbuka.

“Insiden ini sewajibnya mencelikkan mata pelbagai pihak berkuasa untuk mempergiatkan usaha pemantauan serta penguatkuasaan secara bersepadu, pantas dan tegas,” titahnya.