MALAYSIA

Langkah punitif terhadap Israel, peruntukan sekolah agama antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Astro Awani 09/11/2025 | 23:50 MYT
Mesyuarat ketiga penggal keempat Parlimen ke-15 ini berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan beberapa isu utama dibangkitkan dalam sesi soal jawab, termasuk pelaksanaan langkah punitif terhadap Israel serta peruntukan kepada sekolah agama rakyat bagi tahun 2025.


Ringkasan AI
  • Ronald Kiandee gesa penjelasan tindakan punitif susulan sidang Arab-Islam.
  • Ahmad Saad tanya jumlah bantuan disalur kepada institusi agama rakyat.
  • Fokus pada pembangunan belia Sabah dan potensi e-sukan sebagai sumber ekonomi.


Menurut aturan urusan mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN–Beluran) meminta Menteri Luar menyatakan tindakan konkrit susulan gesaan Malaysia di Sidang Kemuncak Arab-Islam di Qatar agar tindakan punitif dikenakan terhadap Israel.

Beliau turut mempersoalkan sama ada gesaan tersebut merangkumi hubungan tidak langsung antara entiti Malaysia dan Israel melalui rantaian bekalan teknologi, perdagangan pihak ketiga, atau kerjasama dalam sektor keselamatan dan siber.

Dalam sesi sama, Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN–Pokok Sena) mengajukan soalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung jumlah bantuan dan peruntukan yang telah disalurkan kepada sekolah agama rakyat sepanjang tahun ini.

Isu pembangunan ekonomi belia Sabah turut dibangkitkan oleh Datuk Suhaimi Nasir (BN–Libaran), yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan program baharu dalam bidang ekonomi digital, keusahawanan tani dan perikanan moden bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan bergaji rendah.

Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) pula menyoal tahap keterjaminan makanan negara sekiranya berlaku sekatan import, serta strategi kementerian untuk memastikan Malaysia mampu berdikari dalam bekalan makanan.

Sementara itu, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN–Jelebu) bertanya kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai dasar kerajaan terhadap perkembangan pesat e-sukan dan potensi menjadikannya sebagai sumber ekonomi negara, bukan sekadar hiburan belia.

Turut dijadualkan hari ini ialah pembentangan bacaan pertama bagi Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025.

Mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian-kementerian terlibat.

Mesyuarat ketiga penggal keempat Parlimen ke-15 ini berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember.




#Dewan Rakyat #langkah punitif terhadap Israel #sekolah agama #keterjaminan makanan