IPOH: Langkah-langkah tegas pencegahan rasuah memberi isyarat penting akan kesungguhan kerajaan mahu memupuk persekitaran perniagaan yang telus lagi adil. 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, negara menghadapi cabaran besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Lantas, titah baginda, tata kelola yang baik sangat diperlukan untuk membina keyakinan pelabur. 

“Negara tidak terkecuali mendepani cabaran landskap ekonomi global yang lebih rumit dipengaruhi dinamik geopolitik, hubungan perdagangan dan pakatan ekonomi kuasa-kuasa besar. 

“Malaysia tidak terlepas daripada kesan negatif akibat peperangan Ukraine-Rusia serta konflik berpanjangan Palestin-Israel yang menjadi bertambah berat dengan peperangan yang sedang berlaku di Gaza. 

“Usaha-usaha kerajaan memberi tumpuan kepada sektor-sektor pertumbuhan baharu merupakan inisiatif strategik yang mampu meletakkan ekonomi negara lebih berdaya saing di peringkat global,” titah baginda.

Baginda bertitah pada istiadat pembukaan rasmi Dewan Negeri Perak Kelima Belas di  Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Speaker Dewan Negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Sultan Nazrin bertitah, mengatasi segala-galanya, adalah amatlah penting untuk Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang stabil, aman dan harmoni.

Titah baginda, negara yang stabil, aman dan harmoni akan berupaya membangunkan negara yang makmur, dan melimpahkan kemakmuran negara untuk manfaat rakyat jelata.

“Negara yang stabil, aman dan harmoni akan dapat membangunkan warga yang kuat untuk membina negara yang kuat.

“Negara yang kuat ialah negara yang warganya memiliki kematangan untuk menerima kelainan dan perbezaan, warga yang memiliki kedewasaan untuk menerima hakikat bahawa setiap warga memiliki kelemahan di samping kekuatan, tetapi warganya berminda pintar, memilih untuk menggabungkan kekuatan dan tidak membesar-besarkan kelemahan.

“Warga yang memiliki semangat patriotik terhadap negara dan bangsanya akan memilih untuk bersatu daripada berpecah,” titah baginda.

Oleh itu, Sultan Nazrin mahu, semua pihak di Perak menggabungkan kekuatan yang ada sesama mereka dan menghayati semangat ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’.