MALAYSIA

Lanjutan umur persaraan bantu tambah simpanan, tampung kos sara hidup

Bernama 03/08/2025 | 04:50 MYT
Pada masa ini, persaraan wajib bagi penjawat awam ditetapkan pada usia 60 tahun dan ia juga usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Pelanjutan had umur persaraan wajib dapat membantu penjawat awam menambah simpanan persaraan, selain memudahkan mereka melunaskan hutang serta menampung kos sara hidup selepas bersara.

Langkah itu juga selari dengan trend global yang menyaksikan banyak negara telah melaksanakan dasar serupa, menurut dua persatuan kakitangan awam.

Presiden Persatuan Penjawat Awam Kaum India Putrajaya (IMAIYAM), Dr Sathiskumar K Muthusamy berkata, kebanyakan penjawat awam hanya membuat komitmen kewangan seperti pembelian rumah dan pinjaman peribadi pada pertengahan kerjaya.

"Akibatnya, mereka tidak dapat melunaskan hutang perumahan dan peribadi menjelang persaraan, manakala wang pencen pula tidak mencukupi untuk menampung komitmen tersebut serta kos lain seperti pendidikan anak dan sara hidup.

"Maka pelanjutan ini (umur persaraan) akan memberi sedikit kelegaan kepada golongan penjawat awam untuk menampung kos hidup serta hutang komitmen mereka, sekali gus mengurangkan angka penjawat awam yang terjerat dengan hutang setelah bersara," katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis lepas mengumumkan had umur persaraan wajib akan diteliti semula sesuai dengan peralihan Malaysia kepada negara tua.

Pada masa ini, persaraan wajib bagi penjawat awam ditetapkan pada usia 60 tahun dan ia juga usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Dr Sathiskumar mencadangkan pelaksanaan dasar itu dibuat secara fleksibel memandangkan tidak semua sektor sesuai dengan had umur persaraan 65 tahun.

"Sektor kritikal seperti perubatan dan pendidikan boleh dipertimbangkan memandangkan seorang pakar perunding perubatan dengan pengalaman yang luas masih boleh berfungsi dengan sempurna dalam perawatan pesakit.

"Selain itu, prestasi dan kesihatan penjawat awam yang terlibat perlu dipantau melalui mekanisme tertentu bagi memastikan mutu perkhidmatan terpelihara dan produktiviti tidak terjejas," katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang pula membandingkan Malaysia sebagai antara negara dengan had umur persaraan terendah berbanding Singapura dan Filipina.

"Kajian itu sangat sesuai berasaskan kepada perkembangan sekarang namun perlu faham bahawa had umur persaraan ini akan ditawar secara pilihan, kerajaan tidak paksa semua terima. Itu persepsi yang kena diperbetul dahulu," katanya.

Amiruddin mengakui, dalam jangka pendek, dasar itu mungkin menjejaskan peluang kenaikan pangkat dan pengambilan baharu penjawat awam, namun kesannya tidak ketara dalam tempoh jangka panjang.

"Dalam jangka pendek, mungkin ada kesan kepada pengambilan baharu atau kenaikan pangkat. Namun kita harus memberi peluang kepada mereka yang berminat dan mempunyai pengalaman luas untuk terus berkhidmat selagi berkeupayaan," katanya.

Beliau berkata, NUTP akan mencadangkan kepada kerajaan agar mewujudkan sistem saringan kesihatan dan penilaian prestasi penjawat awam bagi memastikan hanya yang layak dapat melanjutkan perkhidmatan.

-- BERNAMA




#penjawat awam #lanjutan umur persaraan #komitmen kewangan #Pinjaman Perumahan #simpanan persaraan