[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

Lantik warden profesional bendung buli asrama - Pas Johor

Ernalisa Othman 12/08/2025 | 15:00 MYT
PAS Johor menggesa kerajaan melaksanakan lantikan warden asrama sepenuh masa daripada kalangan profesional bagi menangani isu buli yang semakin serius di institusi pendidikan berasrama di seluruh negara.
JOHOR BAHRU: Pas Johor menggesa kerajaan melaksanakan lantikan warden asrama sepenuh masa daripada kalangan profesional bagi menangani isu buli yang semakin serius di institusi pendidikan berasrama di seluruh negara.


Ringkasan AI
  • Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni, menggesa kerajaan melantik warden asrama sepenuh masa daripada kalangan profesional bagi menangani isu buli di institusi pendidikan berasrama.
  • Beliau mencadangkan langkah seperti memberikan latihan khas, meningkatkan elaun, melaksanakan audit keselamatan, memantau prestasi, dan menjalankan saringan latar belakang warden.
  • Abu Irfan menegaskan bahawa warden luar yang berkemahiran mampu mengurangkan kes buli dan menjamin keselamatan pelajar tanpa membebankan tenaga pengajar.


Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni, berkata langkah itu perlu segera dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan institusi tahfiz, berikutan insiden buli yang mengakibatkan kecederaan parah dan kematian pelajar, termasuk kes membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Menurutnya, kebanyakan warden ketika ini terdiri daripada tenaga pengajar seperti guru sekolah, pensyarah kolej, tenaga akademik universiti dan guru tahfiz yang sudah dibebani tugas mengajar serta pentadbiran pada waktu siang, sebelum mengurus asrama pada waktu malam.

“Beban tugas berlebihan menyebabkan warden bekerja hampir 24 jam tanpa rehat mencukupi. Elaun kecil tidak sepadan dengan tanggungjawab dan risiko yang dipikul, hingga ada yang mengalami tekanan mental, keletihan melampau, dan penurunan kualiti pengajaran,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.

Pas Johor juga mencadangkan enam langkah utama, antaranya melantik warden luar sepenuh masa yang dilatih khusus, memberi latihan pengurusan pelajar dan pencegahan buli, meningkatkan elaun warden, memantau prestasi secara berkala, menjalankan saringan latar belakang.

Selain melaksanakan audit keselamatan menyeluruh di semua institusi pendidikan berasrama.

“Tugas utama seorang tenaga pengajar adalah mendidik dan membimbing pelajar, bukannya bekerja tanpa henti siang dan malam. Dengan adanya warden luar yang berkemahiran, disokong audit keselamatan menyeluruh, kes buli dapat diminimumkan dan keselamatan pelajar dapat dijamin,” tegasnya.

Beliau menegaskan, jika budaya buli mahu dibendung, sistem pendidikan berasrama perlu direformasikan dari aspek pengurusan asrama dan kawalan keselamatan demi kebajikan pengajar serta pelajar.



#Naik elaun warden #lantik warden profesional #insiden buli yang mengakibatkan kecederaan parah #mencadangkan enam langkah utama #memantau prestasi secara berkala