MALAYSIA

Lantikan Hakim: Peranan, nasihat PM termaktub dalam Perlembagaan, tak perlu pertikai - Penganalisis

Irfan Faruqi 16/07/2025 | 14:29 MYT
Isu lantikan hakim berbangkit susulan kekosongan dua jawatan tertinggi mahkamah atasan berikut perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib dan tidak disambung perkhidmatan pada 1 Julai lalu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Perlembagaan Persekutuan sememangnya sudah memberi kuasa budi bicara kepada Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal lantikan hakim sejak merdeka lagi.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri memang diberi kuasa budi bicara oleh Perlembagaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim sejak merdeka.
  • Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal berpendapat proses pelantikan ini tidak wajar dipertikaikan selagi tiada pindaan kepada perlembagaan atau Akta JAC.
  • Beliau mencadangkan sebarang perubahan hanya boleh dilakukan jika kerajaan mahu mengehadkan atau menamatkan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim.


Ahli Majlis Profesor Negara (Kluster Politik, Governan dan Undang-undang), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata selagi tiada pindaan kepada Perlembagaan atau mana-mana undang berkaitan termasuk Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta JAC) 2009 [Akta 695], tidak wajar proses pelantikan sedia ada dipertikaikan.

“Isu yang selalu menjadi polemik adalah mengenai peranan Perdana Menteri. Perlu diingat bahawa peranan Perdana Menteri (dalam proses lantikan hakim) memang sudah wujud sejak daripada merdeka. Kenapa perlu ditarik balik?

“Persoalan sekarang adalah sama ada perlu atau tidak untuk tamatkan peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim. Itu terpulang kepada kerajaan untuk memikirkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Tambah Nik Ahmad, sebarang cadangan untuk meminda peruntukan perlembagaan atau Akta JAC adalah dialu-alukan bergantung kepada keperluan semasa.

Beliau memberi contoh, butiran spesifik dalam akta ini boleh dipinda tanpa menjejaskan sebarang peruntukan perlembagaan semasa.

"Misalnya, selepas dicadangkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Perdana Menteri hanya boleh meminta JAC untuk menimbang semula cadangan tersebut sebanyak sekali sahaja.

“Maknanya, cadangan nama JAC tidak boleh dipulangkan kepada suruhanjaya untuk kali yang kedua. Sebaliknya, cadangan nama tersebut perlu terus diangkat ke Majlis Raja-raja, seterusnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tetapi budi bicara Perdana Menteri dihadkan. Kalau kita tidak mahu Perdana Menteri berperanan (dalam proses lantikan hakim) sama sekali; nama terus diangkat ke Majlis Raja-raja.

“Ini satu bentuk perubahan yang besar dalam Perlembagaan Persekutuan kerana perlembagaan sudah melibatkan Perdana Menteri dalam proses lantikan,” jelasnya.

Isu lantikan hakim berbangkit susulan kekosongan dua jawatan tertinggi mahkamah atasan berikut perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersara wajib dan tidak disambung perkhidmatan pada 1 Julai lalu.

Manakala, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim pula bersara wajib dan tidak disambung perkhidmatan pada 2 Julai.

Setakat Rabu, pengganti rasmi bagi kedua-dua jawatan itu masih belum diumumkan, walaupun Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dilaporkan membincangkan mengenai lantikan hakim-hakim persekutuan telah berakhir.



#kehakiman #Mahkamah Tinggi #Ketua Hakim Negara #Perdana Menteri