MALAYSIA

Lantikan Ketua Hakim Negara: 9 Ahli Parlimen PKR gesa tubuh RCI

Faida Rahim 07/07/2025 | 03:10 MYT
Rafizi (duduk, tengah) bersama enam Ahli Parlimen PKR pada sidang media menggesa penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara serta campur tangan dalam institusi kehakiman. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUCHONG: Sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara serta campur tangan dalam institusi kehakiman.

Gesaan itu turut disusuli permohonan rasmi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan agar satu prosiding khas dijalankan berhubung perkara tersebut.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, permintaan itu dibuat susulan kebimbangan serius terhadap kebebasan dan integriti institusi kehakiman negara, khususnya selepas beberapa keputusan mahkamah yang mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat.

“Kita akan memohon supaya Jawatankuasa Pilihan Khas memulakan prosiding rasmi, termasuk memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi penjelasan.

“Ini kerana menurut Perlembagaan, pelantikan Ketua Hakim Negara terletak di bawah kuasa Perdana Menteri, bukan Kabinet,” katanya dalam sidang media, di Puchong Jaya, di sini, hari ini.

Tambah bekas Timbalan Presiden PKR itu lagi, hanya Perdana Menteri yang boleh menjawab persoalan-persoalan yang timbul kerana proses pelantikan itu tidak dibincang atau diluluskan di peringkat Jemaah Menteri.

Dalam masa sama, beliau turut mengesahkan akan menulis secara rasmi kepada Pengerusi dan semua ahli Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan dalam masa terdekat.

Rafizi turut membandingkan situasi semasa dengan skandal video VK Lingam pada 2007, yang pernah mencetuskan siasatan RCI selepas wujud dakwaan cubaan mempengaruhi pelantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.

“Kami melihat keadaan ini sangat mirip. Beberapa maklumat yang kini tular kepada umum perlu dijelaskan secara terbuka supaya rakyat tidak hilang kepercayaan terhadap institusi kehakiman mahupun kerajaan,” katanya.

Menurut Rafizi, sebarang keraguan terhadap integriti sistem kehakiman boleh mengundang kesan jangka panjang kepada demokrasi dan keluhuran Perlembagaan.

PKR juga, jelas beliau, akan melancarkan satu kempen nasional untuk mengumpul sokongan Ahli Parlimen pelbagai parti bagi menuntut penubuhan RCI dan pelaksanaan reformasi menyeluruh terhadap institusi kehakiman.

“Kami juga akan mengadakan forum awam di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran rakyat. Forum pertama akan berlangsung pada Ahad, 13 Julai ini jam 8.30 malam di Kuala Lumpur atau Selangor,” kata Rafizi sambil menambah maklumat lanjut akan diumumkan kelak.

Kempen itu, jelas beliau, akan memberi tumpuan kepada empat tuntutan utama, termasuk penambahbaikan sistem pelantikan jawatan kehakiman tertinggi serta pemantapan prinsip pengasingan kuasa antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Turut serta dalam sidang media hari ini ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Dua lagi Ahli Parlimen PKR yang tidak hadir tetapi menyatakan sokongan terhadap gesaan ini ialah S. Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).

“Kami percaya, jika reformasi institusi kehakiman tidak dilakukan sekarang, ia akan terus menjadi alat politik kepada mana-mana pihak yang berkuasa,” kata Rafizi.








#Ketua Hakim Negara #Ahli Parlimen PKR #Rafizi Ramli #VK Lingam