KUALA LUMPUR: Tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) harus mempunyai struktur yang jelas dari peringkat atas.

Dekan Malaysian Graduate School of Entrepreneurship and Business (MGSEB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Roselina Ahmad Saufi berkata, pembentukan GLC seharusnya mempunyai perwakilan kerajaan dan bukan perwakilan politik yang berkelayakan berdasarkan fokus entiti GLC terbabit.

Jelasnya, jawatankuasa saringan boleh memainkan peranan dari segi menyenaraikan kriteria dan menguar-uarkannya bagi membuktikan ketelusan pengisian jawatan.

"Dari segi keperluan perlembagaan, penubuhan GLC sama ada di bawah akta badan berkanun seharusnya ada perwakilan kerajaan, bukan perwakilan politik.

"Kalau ahli lembaga pengarah faham apa itu perwakilan share holder dalam syarikat, tidak akan timbul isu. Rakyat marah kerana ada ahli politik mengundang kelakuan dan persepsi negatif.

"Saya harap jawatankuasa saringan menyenaraikan apa kriteria untuk jadi ahli lembaga pengarah dan uar-uarkan supaya semua orang tahu, kalau ada pun terkena ahli politik jadi ahli lembaga pengarah tetapi terbukti dia memang layak dan dia tidak ada kepentingan, bukan dari kementerian yang perlu diwakili.

"Bagi ahli pengurusan pula, boleh buat open post dan diiklankan, dapatkan mereka yang berkelayakan dan disaring. Bukan nak jadi CEO GLC kena jadi kroni atau kenalan," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Isnin.

Katanya, penubuhan GLC di bawah Menteri Kewangan yang disebut Akta Menteri Kewangan (Pemerbadanan) 1957 bermakna sesiapa sahaja termasuk negeri boleh menubuhkan GLC namun langkah-langkah 'pembersihan' dan semakan secara berkala mampu menjadikan institusi firma ini lebih berintegriti.

"Tadbir urus mesti jelas, mesti wujudkan jawatankuasa di persekutuan, ada jawatankuasa saringan, pengurusan dan pemantauan di peringkat negeri juga.

"Alangkah baiknya jika ada satu agenda di Parlimen, mungkin enam bulan sekali bagi membentangkan prestasi GLC bukan sahaja di peringkat Kabinet tetapi juga peringkat Parlimen. Saya pasti keterbukaan begini akan disambut baik," tambahnya.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik, Prof Sivamurugan Pandian berpendapat, kerajaan hari ini tahu ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi, termasuk isu kompetensi, ketelusan dan bagaimana mahu memartabatkan urus tadbir yang baik.

"Kerajaan hari ini bersifat gabungan besar blok politik, jadi di sinilah penting untuk garap maksud pendekatan pelantikan ahli politik dan bagaimana autonomi diberi kepada kerajaan hari ini untuk melakukan penilaian sewajarnya.

"Ini penting supaya tiada persoalan apakah ia memenuhi pawaian antarabangsa, bagaimana kemampuan individu itu diguna pakai oleh kerajaan dan bagaimana ahli politik menjadi penghubung sebagai sebuah syarikat di bawah kerajaan yang tahu kerajaan hari ini tahu ada beberapa perkara yang mahu diperhalusi termasuk isu kompetensi ketelusan dan memartabatkan urus tadbir.

"Semua ini akan diambil kira jika pelantikan ini diteruskan, terma itu harus dipersetujui penerima supaya menampakkan kerajaan mahu memastikan pelantikan tersebut menjadi satu gabungan ke arah merancakkan usaha bukan sahaja mengutamakan keuntungan tetapi nilai masyarakat juga terpelihara," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan pelantikan semula bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, sebagai Pengerusi Felcra ditangguhkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pada masa ini wujud kekeliruan berhubung lantikan politik dalam GLC.

Katanya, beliau tidak pernah menyatakan mereka tidak boleh terlibat dalam pengurusan GLC, tetapi mereka yang dilantik itu mesti terikat dengan syarat yang ditetapkan dan mesti mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan.