Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes pecah kedai nombor ekor sekitar Ipoh selepas memberkas lapan ahli kumpulan Geng Tebuk Ramalan.

Suspek warga Vietnam yang yang berumur 21 hingga 40 tahun itu ditahan bersama peralatan pecah masuk premis seperti pemutar skru, pahat besi, pemotong besi serta beberapa barangan yang dicuri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, empat daripada ahli geng itu diberkas ketika berada dalam sebuah kenderaan di Pekan Baru, Ipoh pada Rabu lepas.

Tambahnya, seorang lelaki warga tempatan berumur 68 tahun yang mempunyai dua rekod jenayah lampau turut diupah untuk menjadi pemandu kepada kesemua suspek dalam operasi memecah masuk kedai nombor ekor.

Beliau memberitahu, ekoran daripada penahanan itu, polis berjaya menangkap empat lagi suspek di empat tempat berasingan sekitar Pekan Baru, Taman Pengkalan Jaya, Pasir Puteh dan Bercham.

Jelasnya lagi, kesemua suspek ditangkap hasil laporan oleh pemilik sebuah kedai nombor ekor yang telah kerugian sebanyak RM172,000 berikutan dipecah masuk sebanyak lima kali sepanjang tahun ini.

“Siasatan kami mendapati modus operandi yang digunakan penjenayah adalah sama dengan kes-kes sebelum ini, ada empat kes sebelum ini.

“Penjenayah itu akan memasuki kedai melalui siling yang mereka panjat mengikut bahagian belakang dan menggunakan beberapa alat untuk menebuk peti besi di mana kesemua wang tunai akan diambil,” katanya lagi.

Polis turut merampas 693 keping tiket loteri dan sebuah kenderaan jenis Proton Wira.

Sum berkata, kesemua mereka dipercayai telah bergerak aktif di sekitar daerah Ipoh dan Batu Gajah sejak awal tahun ini dan dengan tertangkapnya kesemua mereka polis berjaya mematahkan kejadian geng pecah masuk premis pada tahun ini.

Kesemua suspek kini akan direman sehingga 29 Jun dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.