Lapan pegawai pelbagai pangkat Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kesalahan menerima rasuah.

Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuala Lumpur di Jalan Duta hari ini.

Ia melibatkan 25 pertuduhan berhubung kesalahan menerima rasuah berjumlah dari RM200 hingga RM4000 bagi setiap pertuduhan.

Tujuh daripada mereka ialah Amran Ismail, 35; Kamarul Asmady Ismail, 37; Mohd Rozlan Ibrahim, 57; Mahadir Mohamad, 37; Sahbandi Abdul Manap, 36; Jamaludin Zam Zam, 54 dan Som Chit A/L Tiang, 48, didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sahbandi turut didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Turut didakwa di bawah kesalahan ini adalah Abdul Rahman Ahmad, 35 tahun.


INFOGRAFIK: KRONOLOGI OPERASI SPRM MENGENAI ISU KASTAM


Kelapan-lapan mereka didakwa di dua kamar berasingan. Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah untuk kesemua kesalahan dan minta dibicarakan.

Pertuduhan bagi Amran dan Abdul Rahman telah dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Alaudeen Ismail.

Enam pegawai yang lain dibacakan di hadapan Mahkamah Sesyen, Rosbiahanin Arifin.

Kesemua kes akan disebut semula pada 10 November 2014.

Setiap daripada mereka diikat jamin dari RM5000 hingga RM20,000 dan seorang penjamin.

Mengikut undang-undang, mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 16(a)(A) jika didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut nilai mana lebih tinggi.

Kesalahan ini turut melanggar Seksyen 135 Akta Kastam 196.