MALAYSIA

Lapan warganegara China didakwa tipu pelaburan tidak wujud

Bernama 03/12/2025 | 09:17 MYT
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
TEMERLOH: Lapan warganegara China terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan pelaburan tidak wujud, bulan lepas.

Kesemua lelaki iaitu Tan Zhenkun, 29; Zhang DongDong, 33; Xu Leilei, 39; Tian Fuchao, 27; Chu Yuzhang, 28, dan Wang Chong, 37, serta dua wanita Shi Guoting, 23, dan Bai Yanyun, 30, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Tan Chiew King.

Mereka dituduh bersama-sama melakukan melakukan penipuan pelaburan yang tidak wujud di sebuah hotel di Bera kira-kira 2.15 petang, 27 Nov lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Sarah Aqilah Lokman mencadangkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh selain pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Kesemua mereka diwakili peguam Carenjit Kaur Mann.

Di mahkamah sama, lapan individu berkenaan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini setelah tamat tempoh pas yang dikeluarkan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 5 Jan depan bagi serahan dokumen untuk kedua-dua kes berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan lapan warga China disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pelaburan dalam talian dengan siasatan awal mendapati sindiket memperdaya mangsa dalam skim pelaburan yang menyasarkan warganegara China.

-- BERNAMA

#warga china #sindiket penipuan #pelaburan tidak wujud #pendakwaan #mahkamah