Lapar, takut jadi punca remaja 'longlai' selepas ambil vaksin di PPV

Shuhada Abdul Kadir
September 30, 2021 09:34 MYT
Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kejadian yang ditularkan berkenaan memang berlaku di PPV Encore, namun ia bukan disebabkan vaksin COVID-19. - Media sosial
MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menafikan kejadian seorang pelajar ‘longlai’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore, klebang di sini, disebabkan kesan sampingan suntikan vaksin COVID-19.
Sebaliknya, pelajar lelaki berkenaan hanya mengalami pening ringan berikutan rasa takut, selain belum bersarapan sebelum menerima suntikan vaksin berkenaan.
Exco Kesihatan negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kejadian yang ditularkan berkenaan memang berlaku di PPV Encore, namun ia bukan disebabkan vaksin COVID-19.
“Memang ada kes ini, yang mana pelajar berkenaan hanya pening kerana belum bersarapan selain rasa takut.
“Bagaimanapun selepas diberi makan, remaja itu dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 36 saat di laman Facebook memaparkan seorang pelajar lelaki longlai dipercayai selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di PPV Encore, Klebang di sini.
Remaja lelaki yang dilihat berada dalam keadaan terlalu lemah itu terpaksa dipapah oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta orang awam yang berada di lokasi berkenaan.
Menerusi tangkap layar berasingan, kejadian itu didakwa berlaku di PPV Encore pada Khamis sebelum rakamannya tular.
Mengulas lanjut Rahmad berkata, JKN negeri akan mengeluarkan kenyataan lanjut berkaitan situasi berkenaan pada esok dan difahamkan remaja itu juga kini berada dalam keadaan stabil.
#remaja #vaksin #PPV Encore #Klebang #Tular